Polis rampas 14 senjata tiruan di Kota Sentosa

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Polis merampas 14 senjata tiruan yang menyerupai AK47 dan tiga pucuk pistol di Taman Tema, Kota Sentosa kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, dalam serbuan pada 3.45 petang itu, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun, yang merupakan pemilik premis tersebut.

“Semasa pemeriksaan dibuat, didapati kesemua barangan rampasan itu disimpan di belakang kaunter bayaran.

“Siasatan awal mendapati senjata tiruan tersebut disewakan dengan kadar bayaran RM15 hingga RM25 seorang untuk permainan ‘Gel Blaster’, pemain akan diberikan peluru berbentuk gel yang direndam dalam air dengan jumlah anggaran 400 biji,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Aidil, difahamkan suspek membeli senjata api tiruan itu dari China dengan harga RM150 hingga RM500.

Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. - Bernama

Artikel Berkaitan: