10 bot penduduk bantu cari dua beradik hilang

Pencarian mangsa dilakukan seawal jam 7 pagi tadi di sekitar perairan berhampiran Jeti Teck Guan, Kampung Bergosong, Pulau Sebatik.
Pencarian mangsa dilakukan seawal jam 7 pagi tadi di sekitar perairan berhampiran Jeti Teck Guan, Kampung Bergosong, Pulau Sebatik.
A
A
A

TAWAU - Usaha mencari dan menyelamat dua beradik yang hilang selepas dikhuatiri lemas Jumaat lalu dimulakan dengan menggunakan sebanyak 10 bot milik penduduk Kampung Bergosong, Pulau Sebatik.

Pencarian dimulakan seawal jam 7 pagi tadi di sekitar pesisir pantai dan perairan kampung sehingga ke kawasan laut untuk mengesan dua kanak-kanak berusia lapan dan lima tahun itu.

Menurut bapa saudara kepada kedua kanak-kanak itu, Khalib Abdul Kadir, 53, sejak hari kejadian usaha mencari kedua beradik itu diteruskan oleh ahli keluarga dengan bantuan daripada penduduk kampung dan agensi penguatkuasa di kawasan itu.

"Hari ini, kami mulakan usaha mencari dengan mengerahkan sebanyak 10 buah bot penduduk kampung dan sudah keluar seawal jam 7 pagi tadi untuk mencari mereka.

"Pencarian dilakukan di kawasan jeti di mana mangsa hilang dan keluar ke kawasan laut selain turut dilakukan di kawasan darat iaitu pinggir pantai dengan berjalan kaki," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Khalib berkata, dia percaya kedua-dua anak saudaranya itu akan ditemui juga nanti sekiranya pencarian terus dilakukan di kawasan berkenaan.

"Saya yakin ada harapan 95 peratus akan bertemu mereka semula namun terpulang sama ada dalam keadaan selamat atau sebaliknya tetapi saya berharap mereka akan ditemui," katanya yang juga rapat dengan kedua-dua beradik itu.

Dalam pada itu, Khalib berkata, kedua ibu bapa mangsa juga turut turun mencari kedua-dua anak mereka yang hilang dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya mereka semua ada empat beradik dan yang hilang adalah kakak sulung dan adik lelaki nombor tiga yang berusia lima tahun dipercayai dibawa arus kuat ketika mandi pada hari kejadian.

"Kedua ibu bapa memang dalam keadaan bersedih sekarang namun mereka reda dan turut turun ke laut untuk mencari mangsa," katanya.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hari ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Nazwa Telson, 8, bersama adiknya Madsun, 5, dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika mandi di Jeti Teck Guan, Kampung Bergosong.