Pasukan penyelamat bergelut selamatkan mangsa gempa di Turki

Operasi SAR sedang giat dilakukan di lokasi bangunan yang runtuh di Izmir, pantai barat Turki dan beberapa bahagian Greece semalam. - Foto AFP
Operasi SAR sedang giat dilakukan di lokasi bangunan yang runtuh di Izmir, pantai barat Turki dan beberapa bahagian Greece semalam. - Foto AFP
A
A
A

BAYRAKLI - Pasukan penyelamat di Turki berhempas-pulas melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di bandar Izmir beberapa jam selepas gempa kuat melanda Laut Aegean di pantai barat negara itu.

Angka kematian gempa berkekuatan 7.0 magnitud yang berpusat di luar Pulau Samos berhampiran pantai Turki itu mencecah sekurang-kurangnya 24 orang dan dua dilaporkan terkorban di Greece manakala mangsa cedera mencecah kira-kira 800 orang.

Sejak awal pagi tadi, lebih 1,200 anggota penyelamat terlibat dalam operasi SAR di kira-kira 13 struktur yang runtuh dan musnah teruk di Izmir akibat gegaran tersebut yang turut dirasai di Istanbul serta Athens.

Seramai tiga mangsa berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan sebuah bangunan setinggi lapan tingkat selepas kesemuanya dipercayai terperangkap selama hampir 10 jam malah stesen TV turut memaparkan usaha dramatik untuk mengeluarkan mereka.

Datuk Bandar Izmir, Tunc Soyer berkata, sebanyak 20 bangunan runtuh, namun pasukan penyelamat dijangka memfokuskan operasi SAR di 17 struktur.

Semalam, Pusat Pemerhati Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa kuat selama kira-kira 35 saat itu berlaku sebelum jam 3 petang (waktu tempatan) hingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk di Izmir yang berlari bertempiaran ke jalan utama.

Di Seferihisar, sebuah bandar berhampiran Izmir, sebuah rakaman video turut memaparkan gelombang tsunami berskala kecil yang membanjiri kawasan kejiranan berhampiran pantai.

Kejadian tersebut bagaimanapun membuka lembaran baharu hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang tegang sebelum ini selepas Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis menghubungi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk menzahirkan ucapan takziah dan sokongan kepada beliau.

Artikel Berkaitan:

Erdogan dalam satu kenyataan juga menyatakan kesediaan mereka untuk membantu Athens menghadapi pasca bencana tersebut. - Agensi