Rentak Ziyech baru bermula

Hakim Ziyech
Hakim Ziyech
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard percaya pemain sayapnya, Hakim Ziyech sudah menemui rentaknya selepas membantu The Blues menundukan Krasnodar dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Menurutnya, bekas pemain Ajax Amsterdam itu juga telah membuktikan kemampuan dan Lampard yakin kemampuan Ziyech mampu memberikan nilai tambah dalam pasukan.

"Hakim (Ziyech) cukup cergas hari ini, ia kali pertama dia cukup cergas untuk memulakan perlawanan. Dia berusaha dengan amat gigih untuk kembali cergas dan amat berkeinginan untuk menunjukkan kualitinya dalam pasukan ini.

"Kami dapat melihatnya sepanjang dia beraksi di atas padang. Dia mempamerkan kualiti dan ketenangannya dan layak untuk memperoleh gol," katanya.

Ziyech mengalami kecederaan ketika bersama Chelsea dalam aksi pramusim dan hanya beraksi sebagai pemain gantian sebanyak tiga kali sejak perpindahannya daripada Ajax dalam jendela perpindahan lalu.

Bagaimanapun, dia cukup cergas untuk diturunkan sepenuh masa ketika menentang Krasnodar dan tidak menunggu lama untuk menyerlahkan potensinya.

Pemain kebangsaan Maghribi itu turut menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-79 daripada empat percubaan tepat yang dilakukannya.

"Saya fikir prestasinya amat-amat baik jika anda menilai bahawa dia tidak memulakan perlawanan sejak Mac lalu selepas Liga Belanda ditamatkan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, saya amat teruja untuk menurunkannya di atas padang dan ia amat mengecewakan buat saya dan dirinya apabila kecederaannya tidak membenarkannya untuk memulakan perlawanan.Tetapi saya dapat melihatnya dalam sesi latihan dengan kualiti dan personalitinya untuk menerima bola, membantu dan mencari gol.

"Kami dapat melihat banyak bayangan itu hari ini. Kami membawanya ke sini untuk melakukan tugas itu dan mungkin ramai yang sudah terlupa mengenainya kerana kami membelinya pada Januari lalu dan dia terlepas aksi awal musim ini," katanya.