SHAH ALAM - Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan kerajaan perlu mempunyai satu rangsangan yang mampu menghidupkan semula ekonomi negara susulan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan besar.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata, ketika ini Bank Dunia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan semua pihak telah menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi dunia termasuk Malaysia mengalami penguncupan.
Menurutnya, situasi itu memberi kesan besar kepada anak muda khususnya dalam soal kehilangan pekerjaan serta peningkatan kadar pengangguran.
"Pada saya, Belanjawan 2021 dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha dan inisiatif kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini bagi membantu membela rakyat terutama dalam soal kesihatan dan ekonomi.
"Kita melihat Belanjawan 2021 merupakan pemangkin kepada pertumbuhan semula ekonomi negara. Penguncupan ekonomi yang berlaku pada hari ini memberi kesan besar kepada rakyat terutama golongan belia," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri 204 bertajuk Bajet 2021: Apa Anak Muda Mahu? yang berlangsung di Dewan Karangkraf di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 6 November depan.
Wacana tersebut turut menampilkan Ketua Pemuda Sosialis DAP, Howard Lee dan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Mursyid Arshad dan dikendalikan oleh moderator, Herleena Parlavy.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fahysal yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), turut berkongsi inisiatif yang telah digubal dan dibentuk dalam tempoh hampir setahun oleh kerajaan.
Katanya, ia bagi tujuan membela anak muda yang kehilangan pekerjaan dan terkesan akibat Covid-19 iaitu antaranya ialah Skim Perantisan Nasional.
"Program ini membuka peluang kepada anak muda untuk menjadi perantis kepada syarikat sama ada di Malaysia atau multinasional yang berada di negara ini. Mereka diberikan peluang membuktikan kemampuan. Jika berjaya, akan diberikan kerja tetap," katanya.
Dalam masa sama, katanya, Kementerian Belia dan Sukan bersama kementerian-kementerian lain memberikan tumpuan kepada aspek ekonomi gig yang diceburi oleh ramai anak muda.
"Gig ekonomi ini membuka peluang kepada anak muda yang mempunyai kemahiran dalam grafik, pengekodan dan pelbagai lagi untuk berkongsi kemahiran dalam talian.
"Kita lihat ramai yang mendapat manfaat daripada sini. Ia menjadi satu bentuk pekerjaan dan sumber pendapatan kepada anak muda kita," katanya.