Lelaki diberkas menyamar anggota polis dan mengamuk

NIK EZANEE
NIK EZANEE
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki ditahan kerana menyamar sebagai pegawai polis dari Unit Cawangan Khas Bukit Aman dan menyerang seorang anggota polis dalam kejadian di sebuah kondominium di Damansara di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang pengawal keselamatan di kondominium terbabit yang memaklumkan seorang lelaki membuat kacau serta mengamuk di kawasan berkenaan kira-kira jam 2 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi, kita membuat pemeriksaan terhadap suspek berusia 29 tahun itu yang berada di bawah pengaruh alkohol.

"Suspek bertindak agresif dengan menendang, menumbuk serta menarik ves seorang daripada anggota polis bertugas sehingga ia koyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat serta mengugut anggota polis dengan menyatakan bahawa dirinya boleh membuat anggota polis berkenaan ditukarkan serta-merta.

"Kita juga menemui satu peket lut sinar yang mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 3.6 gram disembunyikan di dalam kasutnya.

Dadah yang ditemui dalam kasut suspek dalam kejadian di sebuah kondominium di Damansara, Petaling Jaya hari ini.
Dadah yang ditemui dalam kasut suspek dalam kejadian di sebuah kondominium di Damansara, Petaling Jaya hari ini.

"Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis ganja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semakan pula mendapati suspek mempunyai satu rekod berkaitan kes dadah yang disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506/353/170 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001 dan Seksyen 15(1)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.