Tiga lelaki serang polis dengan cangkul ditahan

Beng Yeow
Beng Yeow
A
A
A

KULAI - Akibat tidak berpuas hati selepas kegiatan jenayah mereka dibongkar pihak polis, tiga lelaki bertindak menyerang anggota polis yang bertugas di pondok polis Taib Andak, di sini, semalam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek yang merupakan penduduk kawasan tersebut yang berusia 25 hingga 57 tahun itu akhirnya berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Suprintendan Tok Beng Yeow berkata, pusat kawalan daerah Ibu Pejabat Polis Kulai menerima maklumat tentang kejadian itu kira-kira jam 3.18 petang.

"Dalam kejadian itu, ketiga-tiga suspek termasuk seorang yang bersenjatakan cangkul telah bertindak memecahkan cermin kereta milik anggota polis bertugas.

"Keadaan itu menyebabkan anggota polis itu melepaskan tiga das tembakan untuk mempertahankan diri," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beng Yeow berkata, semakan mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah serta jenayah membabitkan samun.

"Motif kejadian adalah dipercayai mereka tidak berpuas hati dengan tindakan pihak polis yang telah melaporkan kegiatan jenayah mereka di kawasan tersebut.

"Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan barang kes iaitu cangkul turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Orang awam dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti jenayah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Polis Johor komited dalam usaha pembanterasan jenayah dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang memberi ancaman dan menghalang polis menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang," katanya.