Cikgu Sam dipilih 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020

Samuel Isaiah dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang terpilih sebagai salah seorang daripada 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.
Samuel Isaiah dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang terpilih sebagai salah seorang daripada 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Guru bahasa Inggeris Samuel Isaiah dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang terpilih sebagai salah seorang daripada 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Menurut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, hari ini, Samuel, yang lebih mesra dipanggil Cikgu Sam, dipilih daripada 12,000 pencalonan daripada lebih 140 negara.

Anugerah tersebut yang menawarkan hadiah AS$1 juta (RM4.16 juta) merupakan program pengiktirafan guru yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Samuel merupakan guru yang telah memperkenalkan pelbagai inovasi untuk memberi inspirasi kepada para muridnya yang terdiri daripada orang asli agar mempunyai impian yang besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar.

Antara program diperkenalkannya ialah projek pertukaran emel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’, yang mana para murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dalam dan luar negara.

Program ‘Speak Up With Poetry’ (Bersuara dengan Puisi) yang diperkenalkan pula merupakan projek kerjasama guru tersebut dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan orang asli dan kemudiannya para murid boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Tahun lalu, Cikgu Sam dinobatkan penerima anugerah Guru Adiwira 2019.

Artikel Berkaitan:

Samuel Isaiah
Samuel Isaiah

Sejak pengenalan pelbagai program oleh guru yang berdedikasi tersebut, purata kadar lulusan mata pelajar bahasa Inggeris di sekolah tersebut telah meningkat daripada 30 peratus pada 2012 kepada 80 hingga 85 peratus pada 2015-2018, kata Yayasan Varkey

Finalis lain adalah Ranjitsinh Disale dari India; Olasunkanmi Opeifa (Nigeria); Jamie Frost (United Kingdom); Carlo Mazzone (Itali); Mokhudu Cynthia Machaba (Afrika Selatan); Leah Juelke (Amerika Syarikat) dan Yun Jeong-hyun (Korea Selatan).

“Tahniah kepada Samuel Isaiah kerana terpilih sebagai salah seorang daripada 10 finalis daripada sejumlah besar guru berbakat dan berdedikasi.

“Saya berharap kisahnya akan menjadi inspirasi kepada mereka yang ingin memasuki profesion perguruan dan juga mengetengahkan karya luar biasa yang dilakukan oleh guru di Malaysia dan seluruh dunia,” kata Penolong Ketua Pengarah Pendidikan UNESCO, Stefania Giannini.

Yayasan tersebut akan mengumumkan seorang demi seorang finalis setiap minggu daripada senarai 10 guru finalis tersebut dalam tempoh 10 minggu menjelang kemuncak upacara Hadiah Guru Global 2020 pada 3 Disember ini, yang buat pertama kalinya diadakan secara maya kerana ancaman Covid-19.

“Anugerah Guru Global diwujudkan bagi mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh guru dalam masyarakat. Dengan menggali seribu kisah ‘hero-hero’ yang telah merubah kehidupan golongan muda ini, adalah diharapkan, hadiahnya dapat mengangkat karya terbaik guru di seluruh dunia,” kata pengasas anugerah hadiah tersebut, Sunny Varkey.

“Guru, tanpa mengira di mana mereka berada harus dipuji atas kreativiti, ketabahan dan tekad untuk memenuhi hak setiap kanak-kanak dalam mendapatkan pendidikan terbaik,” katanya.

Pemenang Anugerah Guru Global akan menerima pembayaran hadiah AS$1 juta secara beransur-ansur dalam tempoh 10 tahun. - Bernama