Ayer Hitam akan ‘diremajakan’

Gambar sumber internet
Gambar sumber internet
A
A
A

BATU PAHAT - Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) sedang dalam perancangan untuk ‘meremajakan’ Pekan Ayer Hitam di sini, supaya menjadi sebuah kawasan yang kondusif dan lestari sama ada kepada penduduk atau pengunjung.

Yang Dipertuanya, Mohd Hafiz Aliman berkata, MDYP akan menggunakan kekuatan dan tarikan terdapat di Ayer Hitam seperti sektor pelancongan, bandar seramik dan hub jualan barangan perkahwinan sebagai faktor untuk mentransformasikan kawasan berkenaan.

“Sejak dulu saya lihat Ayer Hitam ini seperti tidak ada pembangunan sedangkan kita mempunyai pelbagai tarikan selain kawasan ini memang sangat strategik kerana berhampiran lebuh raya dan jalan utama untuk pelancong pergi ke Batu Pahat sekiranya datang daripada Johor Bahru.

“Kita (MDYP) juga akan memulihkan semula imej Ayer Hitam daripada pekan lama kepada sebuah pekan lestari dan kita juga sudah ada beberapa perancangan seperti hendak mewujudkan Dataran Ayer Hitam dan Pusat Informasi Pelancongan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Town Hall Bersama Yang Dipertua MDYP yang turut dihadiri Adun Yong Peng, Chew Peck Choo; Ketua Penolong Pegawai Daerah Batu Pahat, Ahmad Nazri Rebu; Setiausaha MDYP, Azmee Awang dan Penolong Pengarah, Tourism Johor, Mohd Azahari Abu Bakar di Arena Warna Ayer Hitam di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Arena Warna yang baru beroperasi kira-kira dua bulan lalu akan terus disokong MDYP apabila beberapa kerja-kerja tambahan akan dilakukan melibatkan pemasangan papan tanda arah, parkir kenderaan dan promosi.

“Tempat ini (Arena Warna) menempatkan 86 peniaga yang sebelum ini meniaga di tepi-tepi Jalan Kluang dan Jalan Johor dan kewujudan lokasi ini adalah untuk menempatkan dan menyusun semula peniaga-peniaga ini di bawah satu bumbung.

“Kerajaan negeri juga turut membantu dan memberi galakan kepada peniaga di sini dengan memberikan sewa percuma pada tiga bulan pertama dan sewa separuh pada tiga bulan berikutnya dan pada bulan ketujuh baru peniaga perlu membayar sewa penuh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi menyemarakkan lagi Arena Warna ini pada masa akan datang, pelbagai program dirancang seperti karnival hari raya, karnival pengantin, program kahwin beramai-ramai termasuk program town hall hari ini.