Raja-raja Melayu bermesyuarat esok

Istana Negara
Istana Negara
A
A
A

SHAH ALAM - Raja-raja Melayu akan mengadakan mesyuarat khas esok di Istana Negara bagi membincangkan cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat bagi menangani penularan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Menurut laporan The Star, sumber Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa mesyuarat tersebut bertujuan bagi mendapatkan pandangan daripada semua raja berhubung pengumuman darurat.

Difahamkan mesyuarat tersebut dijadualkan bermula pada 2.30 petang dan hanya melibatkan raja sahaja.

Selain itu, enam sultan negeri telah mengesahkan kehadiran mereka dan besar kemungkinan sebahagian besar raja akan hadir.

Pengisytiharan darurat yang dicadangkan oleh jemaah menteri membawa maksud penggantungan Parlimen dan menghentikan semua aktiviti politik, namun tidak terhadap ekonomi dan kegiatan lain.

Ia juga tidak akan melibatkan perintah berkurung dan kehadiran polis serta tentera di jalanan.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa orang menteri mempersembahkan cadangan berhubung pengisytiharan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz di Kuantan.

Mereka diiringi oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Artikel Berkaitan: