Kes bunuh, bakar: Polis sudah rakam keterangan ahli keluarga, rakan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis telah merekod keterangan ahli keluarga serta rakan kepada dua mangsa yang maut dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, keterangan diambil bagi melengkapkan siasatan.

“Polis telah merakam keterangan termasuk ahli keluarga dan rakan mangsa di tempat kerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes bunuh, bakar: Mangsa bakal berkahwin Jumaat ini

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri maut terbakar diklasifikasi sebagai kes bunuh

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah suami, isteri mangsa bunuh dikebumikan

“Kita akan lengkapkan siasatan dan bila selesai nanti kita akan lihat apa motif kejadian. Tidak wajar untuk saya bagi apa-apa kesimpulan sebelum selesai siasatan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan masa untuk menyelesaikan kes ini kerana melalui siasatan pasti akan timbul beberapa petunjuk baharu dan sukar dijangka. Ini penting bagi memastikan fakta dan laporan yang diperoleh adalah tepat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fadzil turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi ke atas kes terbabit.

“Ini kerana siasatan masih dijalankan dan spekulasi-spekulasi ini juga tidak tahu sama ada fakta itu benar atau sebaliknya. Bila spekulasi ini timbul, ia akan menjejaskan siasatan selain menyerongkan fakta yang benar,” katanya.

Kelmarin, polis telah mengklasifikasikan semula kematian dua mangsa Norwahidah Abdul Hamid, 28, dan Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dalam kebakaran di sebuah rumah teres sebagai kes bunuh.

Dalam kejadian jam 1.13 tengah hari itu, mangsa wanita ditemui di atas katil sebuah bilik manakala mangsa lelaki ditemui dalam bilik air.

Jenazah kedua-dua mangsa yang juga kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya itu dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.

Jenazah Wan Mohd Baharul dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenang, Hulu Besut Terengganu manakala jenazah Norwahidah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najah Ayer Hitam Kampung Jerlun, Kedah.