Terima aduan tinggi kes kenaikan harga barangan

Azman (dua, kiri) mengiringi Loy Sian meninjau harga barang di pasaraya Aeon, hari ini.
Azman (dua, kiri) mengiringi Loy Sian meninjau harga barang di pasaraya Aeon, hari ini.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Tahun 2018 mencatatkan kes tertinggi dalam tempoh tiga tahun bagi kesalahan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Selangor berbanding dua tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azman Adam berkata, sebanyak 67 kes dicatatkan tahun lalu berbanding 46 kes dan 18 kes pada 2016 serta 2017.

Menurutnya, peningkatan kes tersebut disebabkan banyak aduan diterima daripada orang ramai berkenaan segilintir peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

"Sesetengah peniaga apabila dia hendak jual lebih daripada harga ditetapkan kerajaan, dia tak pasang tanda harga. Ini adalah perbuatan tidak elok dan salah.

"Daripada 7,729 aduan yang diterima sepanjang tahun 2018 ada sebahagian melibatkan perasaan tidak puas hati semasa Tahun Baharu Cina, sebab itu tahun lepas aduan tinggi dan kes juga tinggi," katanya ditemui di Majlis Pelancaran Skim kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2019 Peringkat Selangor, hari ini.

Perasmiannya disempurnakan Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian bertempat di Pusat Beli-Belah AEON Taman Equine, Bandar Putri Permai, di sini.

Jelasnya, pemeriksaan serentak dijalankan di seluruh Selangor semalam dan sebanyak 425 premis diperiksa melibatkan 206 pegawai penguat kuasa bersama 77 pegawai pemantau harga.

"Setakat hari ini hanya satu kesalahan dikesan di Hulu Selangor dan kita belum menerima sebarang aduan daripada orang awam sama ada berkenaan harga, masalah bekalan dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap pematuhan dalam kalangan peniaga akan berterusan sehingga Skim Kawalan Harga Tahun Baru Cina berakhir pada 8 Februari nanti," katanya.

Sebanyak 12 barang disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Tahun Baru Cina berkuat kuasa 30 Januari hingga 8 Februari melibatkan ayam hidup RM6.20, ayam standard RM7.50, ayam super RM8.40.

Termasuk telur ayam gred A 44sen sebiji, telur ayam gred B 43sen, telur ayam gred C 42sen, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Beijing) RM3, bawang putih RM7, ikan bawal putih RM42, udang putih besar RM39, RM22 serta daging babi RM15.