Kereta tanpa pemandu rempuh pintu bank

Kereta yang ditinggalkan pemandu wanita melanggar pintu sebuah bank di Sipitang.
Kereta yang ditinggalkan pemandu wanita melanggar pintu sebuah bank di Sipitang.
A
A
A

SIPITANG - Tindakan seorang wanita meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin tidak dimatikan membawa padah apabila kenderaan itu merempuh pintu kaca sebuah bank di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, wanita berusia 29 tahun berkenaan turut meninggalkan dua anaknya yang berusia dua dan lima tahun di dalam kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku apabila pemandu wanita bertindak meninggalkan dua anaknya di dalam kereta Proton Saga untuk berurusan di sebuah bank.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, wanita itu meletakkan kenderaannya di hadapan bank terbabit dan keluar beratur di mesin juruwang automatik (ATM).

Keadaan pintu kaca sebuah bank di Sipitang rosak selepas dilanggar Proton Saga.
Keadaan pintu kaca sebuah bank di Sipitang rosak selepas dilanggar Proton Saga.

"Ketika itu dua anaknya iaitu lelaki berusia dua tahun dan perempuan berusia lima tahun berada dalam kereta berkenaan.

"Ketika wanita itu sedang beratur di luar ATM, tiba-tiba orang awam menjerit dan mendapati kereta yang ditinggalkannya telah melanggar pintu utama bank terbabit dan menyebabkan cermin pintu rosak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Champin berkata, dua kanak-kanak di dalam kenderaan dan orang awam yang berada di dalam di bank tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut mendapati, kecuaian berlaku disebabkan wanita itu meninggalkan kenderaannya dalam keadaan enjin masih hidup dan gear terletak di posisi 'drive'.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 iaitu gagal mengawal kenderaan semasa memandu dan menyebabkan kemalangan," katanya.