PKNP FC sasar lima terbaik Liga Super

Zainol Fadzi membuat gimik pelancaran dengan menyepak bola kepada penyokong pada majlis berkenaan.
Zainol Fadzi membuat gimik pelancaran dengan menyepak bola kepada penyokong pada majlis berkenaan.
A
A
A

LUMUT - PKNP FC menyasarkan lima kelompok terbaik pada saingan Liga Super yang akan bermula pada Sabtu ini.

Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia pula, PKNP FC meletakkan sasaran ke separuh akhir bagi kedua-dua kejohanan tersebut.

Beliau berkata, sasaran itu diletakkan kerana pemain-pemain sedang menyesuaikan diri dengan pasukan selain kehilangan tonggak utama, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang menyertai pasukan Perak.

"Saya target top 5 untuk liga. Piala FA dan Piala Malaysia separuh akhir sebab saya baru ambil alih dan sesuaikan dengan pemain yang ada tambahan pula kita kehilangan top scorer kita.

"Pemergian Eky (Muhammad Shahrel Fikri) merupakan sumbangan PKNP FC dan Perak FA sebagai team di bawah Menteri Besar Perak yang merupakan pengerusi PKNP," katanya kepada pemberita, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas membuat Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain PKNP FC di Stadium MPM, di sini.

Zainol Fadzi berkata, PKNP FC mempunyai matlamat untuk melahirkan seramai mungkin pemain yang boleh diketengahkan.

Katanya, jika pemain PKNP FC diambil oleh pasukan dari negeri lain atau kelab luar negara ia juga satu kejayaan yang perlu dibanggakan kerana berjaya membentuk pemain berkualiti.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kejayaan itu sesuatu yang perlu dibanggakan bukan sahaja memenangi piala.

Mengenai pendaftaran pemain, Zainol Fadzi berkata, setakat ini mereka baru mendaftarkan 25 pemain termasuk empat pemain import.

Katanya, baki kekosongan itu sengaja ditinggalkan bagi membolehkan pemain baharu dibawa masa sebelum jendela perpindahan ditutup pada 15 Februari nanti.