X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar Tingkatan Tiga dirogol kenalan Facebook

Seorang pelajar Tingkatan Tiga dirogol kenalan lelaki yang baru dikenali seminggu menerusi Facebook di sebuah hotel di Bahau. (Gambar hiasan) Gambar kecil: Mohd Hafiz Muhammad Nor
A
A

JEMPOL - Seorang pelajar Tingkatan Tiga dirogol kenalan lelaki yang baru dikenali seminggu menerusi laman sosial Facebook di sebuah hotel di Bahau tengah malam kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mangsa berumur 15 tahun sebelum itu keluar mengikut suspek berusia 32 tahun dengan menaiki kereta pada jam 12 tengah malam.

"Suspek telah datang mengambil mangsa di rumah neneknya dan telah membawanya ke hotel sebelum merogolnya.

"Pada jam 8 pagi suspek dan mangsa telah mendaftar keluar dari hotel dan kemudian membawa mangsa bersiar-siar di sekitar bandar Seremban," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, suspek kemudian menghantar mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik pulang ke rumahnya pada jam 10 malam.

Beliau berkata, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Bahau pada jam 6.55 petang semalam.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk pemeriksaan dan didapati terdapat kesan koyakan pada kemaluannya.

"Ini merupakan kali pertama mangsa keluar dengan suspek selepas seminggu berkenalan," katanya.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan milik keluarganya ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan polis dibuat mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Suspek juga didapati mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya.