X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita UMNO berpendirian 'no DAP'

Kenyataan Wanita UMNO yang dimuat naik di Facebook Noraini.
A
A

SHAH ALAM - Wanita UMNO menyokong penuh keputusan mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bersetuju agar ‘no DAP’ dan tidak ada kerjasama dengan sesiapa yang ada hubungan dengan parti itu selain terus memperkukuh Muafakat Nasional.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, sebagai tulang belakang parti, Wanita UMNO komited dan teguh dengan keputusan berkenaan.

“Kami yakin dan percaya dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan dalam membawa hala tuju parti demi kepentingan rakyat sesuai dengan status parti itu di negara ini,” katanya.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, Wanita UMNO berharap semua ahli parti khususnya Wanita UMNO supaya tenang dan tidak membuat sebarang andaian yang boleh menjejaskan keharmonian dalam parti.

“Marilah kita terus mengukuhkan benteng parti bagi memastikan tiada lubang yang boleh ditembusi pihak lawan yang mahu melihat parti keramat ini tenggelam,” katanya.

Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi balas pengguna Facebook termasuk yang menyokong kenyataan tersebut.

“Seratus peratus #SETUJU ini yang saya harapkan..#umno#pas#MN jalan terbaik,” kata pemilik akaun @Yahayaa Skoll dalam hantaran balas itu.

“SOKONG... UMNO perlu TEGAS dalam pendirian. Tiada kerjasama dengan DAP dan seangkatan dengannya. Ini suara akar umbi UMNO... sila dengar... Jangan pentingkan diri sendiri demi kuasa. Biarlah jadi pembangkang tanpa jawatan pun ok. Kita sama-sama bangunkan parti,” kata Bakry Mohammad.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO konsisten dengan keputusan terdahulu tidak membentuk sebarang kerjasama politik dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Menurut Ahmad, pendirian itu sudah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini.

Katanya, UMNO juga kekal dengan keputusan untuk mengukuhkan Barisan Nasional (BN) dan memantapkan Muafakat Nasional (MN), yang kini disertai Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO cadang Muafakat Nasional didaftar sebagai organisasi politik


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!