Suspek pecah rumah maut digilis

Mayat mangsa dalam keadaan ngeri selepas digilis beberapa kenderaan di KM295.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berdekatan Susur Keluar Tol Gopeng, awal pagi tadi.
Mayat mangsa dalam keadaan ngeri selepas digilis beberapa kenderaan di KM295.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berdekatan Susur Keluar Tol Gopeng, awal pagi tadi.
A
A
A

KAMPAR - Seorang suspek kes pecah rumah maut selepas digilis beberapa kenderaan di KM295.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berdekatan susur keluar Tol Gopeng, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira jam 3.35 pagi itu apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh di atas jalan.

Menurutnya, mangsa seorang lelaki berusia 40 tahun itu kemudiannya digilis sebuah kereta Perodua Myvi dan beberapa kenderaan lain yang tidak dikenal pasti.

"Mangsa maut di tempat kejadian kerana diseret sejauh lebih kurang 200 meter dari tempat kejadian manakala motosikal mangsa dijumpai di lorong kecemasan lebih kurang 1,000 meter dari tempat kejadian manakala pemandu dan lima penumpang Myvi tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hasron berkata, mangsa beralamat di Jalan Kemaman, Kampung Meraga Beris, Kijal, Terengganu itu mengalami kecederaan di seluruh anggota badan manakala motosikal turut mengalami kerosakan.

Sementara itu, beliau berkata, mangsa merupakan suspek yang masih bebas bagi kes pecah rumah di Alor Setar dan Kuala Kedah selain turut dikehendaki bagi siasatan kes mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan pagar Masjid Kubang Siam yang berlaku semalam.

Katanya, hasil semakan turut mendapati motosikal ditunggang mangsa dicuri di sebuah lokasi di Alor Janggus, Alor Setar, Kedah.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Artikel Berkaitan: