Lang Merah, Penyu teruja harungi Piala Malaysia

Nafuzi Zain, Aidil Sharin Sahak
Nafuzi Zain, Aidil Sharin Sahak
A
A
A

KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak melihat penundaan saingan TM Piala Malaysia susulan penularan wabak Covid-19 sebagai sesuatu yang positif bagi memberi ruang kepada pemain yang cedera untuk kembali pulih.

Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober, sepak mula Piala Malaysia yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 26 Oktober ditunda ke tarikh baharu iaitu 6, 7, dan 8 November depan.

Justeru, berikutan kecederaan yang dialami pemain Ifwat Akmal Che Kassim, Shahril Saa’ri dan Hadin Azman, Aidil menyifatkan masa lebih kurang tiga minggu adalah cukup untuk pemain-pemain tersebut mendapatkan kembali kecergasan mereka.

Enggan melihat penundaan yang dibuat itu sebagai satu beban, Aidil menganggap situasi penularan wabak Covid-19 ini sememangnya sukar dijangka dan pasukan harus sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan selain bersyukur saingan Piala Malaysia masih mampu diteruskan setakat ini.

“Pertama sekali, saya berpendapat ia satu langkah yang tepat dibuat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berdasarkan situasi terkini Covid-19 dan ini adalah satu keputusan adil untuk semua pihak.

“Jika kita tengok, saingan liga sebelum ini agak memenatkan juga dengan kita nak menghadapi cabaran wabak Covid-19 lagi, tetapi sekarang kita ada dalam tiga minggu untuk mempersiapkan diri bagi Piala Malaysia dan itu sudah mencukupi buat pasukan.

“Ifwat dan Shahril juga semakin menunjukkan perkembangan positif selepas berdepan kecederaan tetapi Hadin sekarang masih 50-50 dan harap dia sempat untuk turun beraksi nanti.

“Secara keseluruhan, saya akan pastikan semua pemain dapat rehat yang secukupnya dan dalam masa sama mengekalkan kecergasan di tahap terbaik sebelum sepak mula,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain pula ingin mengambil peluang memanfaatkan skuad feeder team, Terengganu FC (TFC II) bagi mengadakan aksi persahabatan dalam tempoh tiga minggu yang ada ini.

Jelasnya, dengan cara itu, sekurang-kurangnya momentum pasukan tidak akan terjejas sekiranya mereka masih dalam suasana perlawanan kompetitif untuk lebih bersedia menghadapi Piala Malaysia, musim ini.

“Sebenarnya tugas mencabar juga untuk saya sebagai jurulatih bagi memastikan pemain-pemain ini tidak hilang “mood” perlawanan sebenar selepas tiga minggu.

“Jadi, bonus untuk kami apabila ada feeder team seperti TFC II untuk kita sentiasa menguji kecergasan pemain atas padang dan tempoh tiga minggu ini tidak boleh disia-siakan kerana kami ingin cuba untuk mara jauh dalam Piala Malaysia musim ini,” katanya.

Pusingan pertama Piala Malaysia bagi 16 pasukan akan berlangsung pada 6, 7, dan 8 November disusuli 12 dan 13 November (suku akhir), 17 November (separuh akhir) serta aksi final pada 22 November.