PKPB: IPD Gombak tutup tiga jalan, enam sekatan jalan raya

Peta menunjukkan salah satu sekatan jalan raya di Gombak bagi tempoh PKPB yang bermula hari ini.
Peta menunjukkan salah satu sekatan jalan raya di Gombak bagi tempoh PKPB yang bermula hari ini.
A
A
A

GOMBAK - Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak mengadakan enam sekatan jalan raya dan tiga penutupan jalan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini hingga 27 Oktober.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dua lokasi sekatan jalan raya itu melibatkan sempadan antara Gombak dengan Sentul, dua lagi laluan ke Wangsa Maju dan dua lagi melibatkan sempadan Petaling Jaya serta Hulu Selangor.

"Sekatan jalan raya satu adalah di KM14 Jalan KL-Ipoh dari Rawang menghala Kuala Lumpur dan sekatan jalan raya dua melibatkan laluan bertentangan, manakala sekatan jalan raya tiga di Jalan Gombak berhampiran Balai Polis Gombak dari arah Setapak ke Gombak dan sekatan jalan raya empat melibatkan laluan bertentangan.

"Seterusnya sekatan jalan raya lima dilakukan di Jalan Desa Aman Puri Desa Jaya iaitu sempadan ke Petaling Jaya dan terakhir sekatan jalan raya enam di Batu 20 Jalan KL-Rawang bagi laluan menuju ke Hulu Selangor," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, IPD Gombak turut melakukan penutupan jalan di Jalan Gombak Lama-Genting Sempah (Simpang Kuari), simpang masuk jalan ke Selayang Pandang (KM14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh) dan jalan besar Selayang Baru (sebelum Petron Jalan Ipoh).

"Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif Lebuh raya KL-Karak menggantikan Jalan Lama Gombak. Bagi ke Selayang Pandang pula laluan yang boleh digunakan adalah menggunakan jalan utama KM14 Jalan KL-Ipoh-Kuala Lumpur.

"Sementara laluan alternatif yang dicadangkan susulan penutupan jalan besar Selayang Baru pula, pengguna boleh menggunakan Jalan 2 Selayang Baru-Petron-Pasar Borong-Jalan KL-Jalan Ipoh," katanya.

Arifai berkata, beliau menasihatkan masyarakat untuk mematuhi PKPB yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau berdepan tindakan kompaun.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pergerakan keluar masuk daerah dan negeri yang melibatkan kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan kecuali atas urusan kecemasan atau 'essential services' yang perlu menunjukkan pas pekerja atau surat dari majikan.

"Bagi mereka yang perlu melalui Selangor untuk ke negeri lain dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada balai polis berhampiran sebelum memulakan perjalanan," katanya.