X

Kindly register in order to view this article
!

Polis serbu 'port lalok'

Mazuki (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dari suspek yang didapati mengedar dadah sejak sebulan lalu.
A
A

BAGAN SERAI - Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah ketika menyerbu sebuah pondok dalam kawasan kelapa sawit di Simpang Ampat, Semanggol yang dijadikan ‘port lalok’ sejak sebulan lalu.

Serbuan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada jam 8.30 malam kelmarin itu menemukan dadah disyaki heroin, methamphetamine dan ganja dengan berat keseluruhan 284 gram bernilai RM17,580.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, risikan mendapati lelaki berusia 30-an itu menjadikan pondok terbabit sebagai lokasi untuk menghisap, membungkus dan menjual dadah yang boleh dibekalkan kepada lebih 200 hingga 300 penagih di kawasan itu.

“Turut dirampas kereta jenis Proton Satria bernilai RM4,000, alat penimbang digital, paket plastik, botol kaca yang diubahsuai dan kertas timah yang dijadikan alat untuk menghisap dadah,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di IPD Kerian di sini hari ini.

Menurutnya, soal siasat mendapati suspek menerima bekalan daripada pengedar tempatan.

“Suspek yang didapati positif morfin itu direman selama enam hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mazuki turut menasihatkan orang awam supaya tidak bimbang untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan dadah di kawasan masing-masing dengan menghubungi di talian 05-7215222.