KFA tolak peletakan jawatan Muhammad Sanusi

Jawatankuasa Eksekutif KFA mohon Muhammad Sanusi kekal sebagai Presiden Persatuan tersebut.
Jawatankuasa Eksekutif KFA mohon Muhammad Sanusi kekal sebagai Presiden Persatuan tersebut.
A
A
A

JAWATANKUASA Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memutuskan sebulat suara menolak peletakan jawatan Muhammad Sanusi Md Nor sebagai presiden persatuan tersebut yang berkuat kuasa 15 Oktober ini.

Timbalan Presiden KFA, Datuk Abdul Rahman Abdullah berkata, tiada sebab kukuh Muhammad Sanusi meletakkan jawatan kerana beliau cemerlang menyelesaikan beberapa masalah besar sepanjang mentadbir persatuan tersebut.

Menurutnya, masalah berbangkit yang berlaku sebelum ini berjaya diselesaikan secara tidak langsung memberi motivasi kepada pasukan Liga Super Kedah yang kini berada di tangga kedua pasukan terbaik di Malaysia.

"Setelah meneliti kandungan surat bertarikh 25 September 2020 hasrat Menteri Besar Kedah yang juga Presiden KFA mahu meletakkan jawatan, Jawatankuasa Eksekutif KFA memutuskan sebulat suara untuk menolak perletakan jawatan itu.

"Jawatankuasa Eksekutif KFA juga membuat keputusan menyokong penuh kepimpinan beliau meneruskan khidmat sebagai Presiden KFA dalam membawa sukan rakyat ini ke peringkat Asia dan segala sumbangan khidmat yang cemerlang sebelum ini dapat diteruskan ke musim akan datang,"katanya pada sidang media khas KFA di sebuah hotel hari ini.

Abdul Rahman berkata, banyak kejayaan dapat dilihat di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi antaranya urus tadbir yang efisien terutama mengawal selia kewangan semasa persatuan dan peruntukan pasukan.

Tambahnya, di bawah kepimpinannya juga, KFA berjaya mendapatkan kelulusan Persatuan Bolaepak Kedah (FAM) bagi proses pemisahan FA ke FC baru-baru ini seterusnya pasukan Kedah layak beraksi di pentas CIMB Liga Super musim 2021.

"KFA juga lulus pelesenan kelab peringkat kebangsaan dan AFC seterusnya melayakkan Kedah beraksi di musim 2021 dalam Liga Malaysia dan Piala AFC sekiranya layak.

Artikel Berkaitan:

"Keprihatinan Presiden KFA yang menitik beratkan kebajikan persatuan dan pasukan telah menyuntik motivasi barisan kejurulatihan dan pemain Liga Super Kedah yang kini di tangga kedua CIMB Liga Super dan berpeluang cerah untuk beraksi di pentas Piala AFC walaupun sebelum ini menghadapi masalah kewangan yang besar,"katanya lagi.

Menurutnya, KFA merayu kepada Muhammad Sanusi untuk terus memimpin persatuan tersebut dan membatalkan hasrat untuk menulis surat peletakkan kali kedua jika surat pertama ditolak oleh pihaknya.

Hadir sama Naib-naib Presiden KFA, Khamal Idris Haji Ali, Muhammad Radhi Mat Din, Yusuri Yusof, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Firdaus Ahmad, Bendahari Kehormat KFA, Mohd Noor Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron.