Seorang maut, dua parah kereta langgar belakang lori

Keadaan kereta yang dinaiki mangsa selepas terlibat kemalangan di Kilometer 232.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Ayer Keroh-Senawang awal pagi tadi.
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa selepas terlibat kemalangan di Kilometer 232.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Ayer Keroh-Senawang awal pagi tadi.
A
A
A

REMBAU - Seorang wanita maut manakala dua lagi individu parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 232.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Ayer Keroh-Senawang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Toyota Yaris dinaiki tiga individu dan sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun.

Menurutnya, kereta Toyota Yaris itu dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun dan terdapat dua penumpang iaitu wanita berusia 18 dan 19 tahun.

"Berdasarkan siasatan awal polis mendapati kereta tersebut dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang.

"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki mangsa hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang lori yang sedang bergerak di lorong kiri sebelum terbabas ke kiri lebuh raya dan melanggar tebing bukit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, wanita berusia 18 tahun yang duduk di bahagian belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu kereta dan seorang lagi penumpang mengalami kecederaan parah manakala pemandu lori tersebut tidak cedera.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin dan siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: