Hutang perubatan adik Mohd Shariman Raif selesai

Muhammad Afiq Aiman (kanan) menyerahkan bil bayaran yang sudah dilangsaikan oleh Volunteer i-Care hasil sumbangan orang ramai kepada Wan Syarifah dan anak-anaknya
Muhammad Afiq Aiman (kanan) menyerahkan bil bayaran yang sudah dilangsaikan oleh Volunteer i-Care hasil sumbangan orang ramai kepada Wan Syarifah dan anak-anaknya
A
A
A

PASIR PUTEH - Tunggakan hutang perubatan Mohd Shariman Raif Abdullah, 9, yang membelenggu ibunya, Wan Sharifah Wan Hamad, 33, sehingga memaksa menjadi peminta sedekah akhirnya selesai.

Bayaran berjumlah RM2,239 itu dilunaskan oleh Kelab Sukarelawan Prihatin Kelantan (Volunteer i-Care) hasil sumbangan orang ramai yang dikumpul oleh badan berkenaan.

Pengerusi Volunteer i-Care, Muhammad Afiq Aiman Shukry berkata, sejurus wang kutipan itu cukup, pihaknya terus melunaskan tunggakan hutang tersebut bagi menghilangkan keresahan yang menghantui keluarga berkenaan.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah membantu menjayakan misi ini.

"Kepercayaan anda terhadap kami (Volunteer i-Care) menjadi pembakar semangat untuk membantu lebih ramai golongan memerlukan selepas ini," katanya ketika menyerahkan bukti pembayaran tunggakan tersebut kepada Wan Sharifah di Kampung Permatang Gading, Bukit Abal di sini semalam.

Menurutnya, Volunteer i-Care akan terus melakukan tinjauan susulan untuk melihat bentuk sumbangan yang boleh disalurkan kepada Mohd Shariman Raif.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kisah duka Wan Syarifah dan anaknya, Mohd Shariman Raif.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kisah duka Wan Syarifah dan anaknya, Mohd Shariman Raif.

Katanya, bentuk sumbangan itu merangkumi susu dan lampin pakai buang yang diperlukan oleh kanak-kanak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Sharifah berkata, dia berterima kasih kepada semua penyumbang dan kini hidup keluarganya lebih tenang.

"Kami bersyukur sangat bil itu dapat dijelaskan dan bebas daripada tindakan undang-undang," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, demi anak seorang ibu sanggup menjadi peminta sedekah bagi mencari wang untuk kelangsungan hidup serta menjelaskan tunggakan baki bayaran perubatan anak keempatnya, Mohd Shariman Raif yang mengalami masalah pundi kencing atau Nephrotic Syndrome dan penyakit buah pinggang.

ARTIKEL BERKAITAN: Buntu nak bayar baki wang perubatan anak