X

Kindly register in order to view this article
!

‘Soalan bodoh’ titik mula persahabatan

Chamil Wariya
A
A

“WARTAWAN kena banyak bertanya dan perlu membuat persiapan rapi terutamanya apabila diberikan tugasan membabitkan pemimpin negara supaya soalan yang mahu ditanya itu nanti relevan dan berpengetahuan.

“Tetapi jika ada pemimpin negara yang enggan menjawab kerana menganggap wartawan bertanyakan soalan bodoh, perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkongsi kisah ‘soalan bodoh’ yang menjadi titik permulaan hubungan persahabatan beliau dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada tahun 1973, Allahyarham Tun Muhammad Ghazali Shafie.

Chamil yang ketika itu baru tiga tahun bertugas sebagai wartawan di syarikat Utusan Melayu ditugaskan menyertai rombongan media sempena lawatan Allahyarham Tun Ghazali ke kem pasukan keselamatan di Grik, Perak.

Chamil (duduk empat dari kiri) bersama Ghazali (dua dari kiri) di Rumah Rehat Kuala Lipis sewaktu membuat liputan menteri berkenaan melawat kawasan Parlimen Kuala Lipis, Pahang.
Chamil (duduk empat dari kiri) bersama Ghazali (dua dari kiri) di Rumah Rehat Kuala Lipis sewaktu membuat liputan menteri berkenaan melawat kawasan Parlimen Kuala Lipis, Pahang.

Peluang menyertai rombongan itu merupakan pengalaman pertama beliau membuat liputan seorang pemimpin yang digeruni wartawan baharu atau lama di Malaysia ketika itu.

Dari segi persepsi, Tun Ghazali terkenal sebagai no nonsense minister. Beliau tidak boleh menerima sekiranya wartawan mengajukan pertanyaan-pertanyaan yang beliau anggap bodoh.

Meskipun demikian, Tun Ghazali yang merupakan seorang diplomat terkenal dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia sebelum terjun ke arena politik tetap disukai wartawan kerana sering memberi jawapan yang bernas dan ada kalanya tidak dijangka. Oleh sebab masih rebung dalam dunia kewartawanan ketika itu, Chamil bimbang sekiranya beliau tidak berupaya melaporkan kenyataan Tun Ghazali dengan tepat.

Dalam sidang media yang diadakan selepas sesi lawatan ke kem berkenaan, Tun Ghazali menunjukkan reaksi kurang senang apabila ada wartawan yang bertanyakan soalan yang dianggap remeh.

“Inilah masalahnya kalau kamu (wartawan) tak buat homework,” kata Tun Ghazali yang terkenal dengan panggilan King Ghaz.

Gelaran itu diberi oleh pegawai-pegawai bawahannya di Kementerian Luar Negeri. Khabarnya sewaktu menjadi Setiausaha Tetap (jawatan itu kini dikenali sebagai Ketua Setiausaha) Wisma Putra, Tun Ghazali ‘memerintah’ kementerian yang diterajuinya seperti seorang raja. Justeru, gelaran King Ghaz menjadi sebati dengan dirinya.

Tun Muhammad Ghazali (tengah) selaku pengerusi panel peraduan pendapat bukan Melayu meneliti bahan penyertaan yang ketika itu Chamil (kanan) sebagai pengarang rencana Utusan Malaysia.
Tun Muhammad Ghazali (tengah) selaku pengerusi panel peraduan pendapat bukan Melayu meneliti bahan penyertaan yang ketika itu Chamil (kanan) sebagai pengarang rencana Utusan Malaysia.

Chamil tidak menyalahkan Tun Ghazali memberi reaksi sedemikian tetapi tidak wajar mengangap soalan yang diajukan itu bodoh.

“Saya tahu Tun Ghazali seorang yang pintar dan cerdik, tetapi beliau harus melayan pertanyaan dengan baik. Tambahan pula beliau ialah mantan seorang diplomat ulung negara. Dan sebagai menteri, beliau mempunyai akses maklumat yang orang media tidak boleh mengaksesnya,” jelas Chamil.

Mencelah

Oleh sebab itu, meskipun tiada soalan yang hendak ditanya pada sidang media tersebut tetapi Chamil memberanikan diri untuk mencelah.

“Saya tahulah Tan Sri anggap Tan Sri sahaja yang cerdik, orang lain tidak. Tetapi tidak salah kalau soalan bodoh pun Tan Sri jawab,” kata Chamil yang menyebabkan Tun Ghazali segera mengalihkan pandangan ke arahnya.

Menurut Chamil, beliau menyangka Tun Ghazali akan memarahinya namun sebaliknya sekadar bertanya, ‘kamu dari akhbar mana? Apa yang kamu nak tanya?’

“Ketakutan, saya hanya menggelengkan kepala. Hati saya berbisik, kalau apa yang berlaku dipanjangkan kepada pengetahuan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan ketika itu, Mazlan Nordin, habislah aku,” kata Chamil.

Apa yang dirisaukan itu tidak berlaku sebaliknya peristiwa tersebut menjadi titik mula hubungan baik beliau dengan Tun Ghazali. Setiap kali Tun Ghazali melawat kawasan sebagai Ahli Parlimen Lipis, Chamil akan diberikan tugasan untuk membuat liputan.

“Apabila saya bertanya kepada Ketua Pengarang mengapa, katanya atas ‘permintaan menteri’ yang suka cara kamu membuat laporan tentangnya, menggambarkan apa yang ingin disampaikan.

“Selain melawat kawasan, beliau juga membawa saya menghadiri Persidangan Jawatankuasa Am di Bangkok dan Jakarta,” ujarnya.

Sewaktu insiden pengganas Japanese Red Army (JRA) menawan bangunan AIA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 1974, Chamil mendapat keizinan untuk berada di bilik operasi pasukan polis. Di situ beliau menyaksikan sendiri ketangkasan Tun Ghazali mengendalikan insiden berkenaan dan selepas beberapa hari ia berakhir, Tun Ghazali bersetuju untuk ditemu ramah secara eksklusif oleh Chamil.

Chamil (dua dari kiri) bertindak sebagai moderator dalam satu ceramah Tun Muhammad Ghazali pada 5 Oktober 1991 di Kuala Lumpur.
Chamil (dua dari kiri) bertindak sebagai moderator dalam satu ceramah Tun Muhammad Ghazali pada 5 Oktober 1991 di Kuala Lumpur.

“Saya menyertai akhbar Utusan Malaysia pada 1971 dengan gaji permulaan RM200 dan pernah menerima bimbingan daripada Mohd Nor Samsuddin (ketua pemberita), Zainuddin Maidin (pengarang berita), AR Kamaluddin (ketua penyunting) dan Subky Latif (pengarang Mastika/Utusan Zaman),” cerita Chamil.

Beliau juga pernah berkhidmat dengan Bahagian Melayu Perkhidmatan Luar Negara Perbadanan Penyiaran British (BBC) di London dari tahun 1976 sehingga 1983.

Selama lapan tahun berada di London, hubungan baik Chamil dan Tun Ghazali kekal terjalin. Sekembalinya ke tanah air pada 1984, karier Tun Ghazali dalam Kabinet hampir berakhir sebelum beliau meletak jawatan pada pertengahan tahun itu.

Pada 24 Januari 2010, Tun Ghazali pulang ke rahmatullah namun persahabatan yang erat disulami dengan pelbagai kenangan terutama peristiwa ‘soalan bodoh’ itu tetap utuh dalam ingatan Chamil.

“Ia mendewasakan saya sebagai seorang wartawan kerana ketika itu, saya tidak mendapat sebarang latihan daripada mana-mana sekolah kewartawanan, maka saya banyak belajar daripada pengalaman sewaktu bekerja,” katanya yang pernah mengetuai operasi Divisyen Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!