Gunung Kinabalu ditutup hingga 8 Oktober

Gunung Kinabalu dan kawasan Taman Kinabalu ditutup bermula hari ini hingga 8 Oktober depan untuk proses nyah kuman. - Foto 123RF
Gunung Kinabalu dan kawasan Taman Kinabalu ditutup bermula hari ini hingga 8 Oktober depan untuk proses nyah kuman. - Foto 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Gunung Kinabalu dan kawasan Taman Kinabalu ditutup bermula hari ini hingga 8 Oktober depan untuk proses nyah kuman, kata Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Jamili Nais.

Beliau berkata, ini berikutan seorang pesakit koronavirus (Covid-19) didapati telah mendaki Gunung Kinabalu dari 13 hingga 14 September lalu dan Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan Notis Perintah Tutup untuk menutup ibu pejabat Taman Kinabalu, Kundasang.

“Pusat Covid-19 dibuka di Taman Kinabalu untuk tujuan operasi pencegahan penularan yang melibatkan ujian saringan Covid-19 ke atas kontak rapat pendaki yang terdiri daripada malim gunung, pendaki awam dan staf taman serta syarikat swasta yang terbabit dalam aktiviti pendakian itu.

“Operasi nyah kuman yang menyeluruh dilaksanakan ke atas kemudahan-kemudahan pelancongan di sepanjang laluan pendakian ke Gunung Kinabalu termasuk di Stesen Panabalan (base camp) di sepanjang tempoh penutupan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berikutan peningkatan kes Covid-19 di pantai timur negeri itu, agensi kerajaan negeri Taman-taman Sabah telah melaksanakan operasi nyah kuman di Taman Bukit Tawau, Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan selama tujuh hari dari 20 hingga 30 September ini.

“Ketiga-tiga buah taman ini tidak akan dibuka kepada pelawat dan orang awam sepanjang tempoh operasi ini dilaksanakan.

“Bagaimanapun, taman-taman lain yang bebas daripada gejala penularan Covid-19, iaitu Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Pulau Penyu, Taman Banjaran Crocker, Taman Pulau Tiga dan juga Taman Tun Mustapha masih dibuka kepada pelawat awam,” kata Jamili.

Beliau berkata, Stesen Mata Air Panas Poring, Substesen Serinsim, Substesen Sayab, Substesen Monggis dan Substesen Nalapak masih bebas daripada penularan Covid-19 dan dibuka kepada pelawat awam.- Bernama

Artikel Berkaitan: