Pastikan 50 peratus keluasan negara dilitupi hutan

Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok.

Komitmen itu disuarakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah hari ini.

"Pada masa ini terdapat 55.3 peratus meliputi seluas 18.27 juta hektar kawasan berhutan di negara ini.

"Sebagai satu sumber asli yang penting kepada sosioekonomi dan alam sekitar, hutan perlu dirancang penggunaannya, dipelihara dan diurus dengan bijaksana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Projek Releaf oleh Nestlé (Malaysia) Berhad di sini.

Menurutnya, amalan pengurusan hutan secara berkekalan akan terus menjadi teras utama dalam sektor perhutanan di semua negeri.

"Di samping itu, penggunaan hutan sebagai tempat rekreasi mula berkembang kerana keindahan alam semula jadi menjadikan ia produk eko-pelancongan negara," katanya.

Katanya, kementerian juga akan melaksanakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengalu-alukan penyertaan semua pihak termasuk kerajaan negeri, kementerian, agensi kerajaan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan serta masyarakat umum untuk menyokong dan bekerjasama dengan kementerian dalam usaha menghijaukan bumi Malaysia," katanya.

Pada perkembangan sama, Shamsul Anuar memuji inisiatif Nestle yang tampil dengan program penghutanan semula menerusi projek menanam tiga juta pokok di negara ini menjelang 2023.

Pada majlis itu, Nestle mengumumkan komitmennya untuk menanam pokok berkenaan di seluruh Kinabatangan Wetlands dan kawasan Pemulihan Hutan Merisuli Sabah dan hutan simpan sepanjang Lingkaran Hutan Tengah di Semenanjung.

Inisiatif itu menyumbang kepada janji global syarikat berkenaan untuk mencapai pelepasan gas rumah sifar bersih menjelang 2050.