Johor Tigris kena perkemas pertahanan

Antara aksi menarik pertemuan Johor Tigris menentang Perak Bison di Stadium Titiwangsa semalam. - Foto STL 2020
Antara aksi menarik pertemuan Johor Tigris menentang Perak Bison di Stadium Titiwangsa semalam. - Foto STL 2020
A
A
A

JOHOR Tigris mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki pasukan itu biarpun berjaya menjinakkan juara Piala Sumbangsih, Perak Bison 2-1 pada aksi Liga Sepak Takraw (STL) 2020 Divisyen Premier di Stadium Titiwangsa semalam.

Menurut Penolong Pengurus Johor Tigris, Zuraimi Khamis, masih banyak kesilapan yang perlu diperbaiki regu Tigris dalam masa terdekat dalam memastikan wakil selatan tanah air itu terus berdaya saing pada perlawanan seterusnya.

Katanya, antara yang akan dilakukannya adalah untuk memperkemaskan bahagian pertahanan menjelang aksi berdepan Selangor Pistons pada Jumaat ini.

"Saya akui memang ada kesilapan-kesilapan kecil yang dilakukan pemain kita, tetapi mereka telah berikan aksi terbaik untuk memenangi pertemuan dengan Bison itu.

"Alhamdulillah, pemain dapat menyerap tekanan dan seterusnya memberikan saingan kepada lawan sehingga berjaya menewaskan mereka," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pertemuan Johor Tigris dan Perak Bison berlangsung sengit berlanjutan sehingga ke rubber-set sebelum dimenangi Tigris 21-15, 20-22 dan 21-15.

Sementara itu, Pengurus Perak Bison, Mohd Jaffrey Mohd Zainol berharap agar benteng pertahanan regu berkenaan dapat diperbaiki menjelang pertemuan dengan KL Thunders pada Sabtu diikuti Penang Black Panthers sehari kemudian.

"Setelah tewas set pertama, pemain kita mula selesa dan mendapat rentak pada set kedua. Tetapi akibat banyak buat silap pada set ketiga menyebabkan Johor Tigris mula mengambil kesempatan itu untuk menyerang kita.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu kita akan perkemaskan pasukan terutamanya bagi mengukuhkan benteng pertahanan pasukan pada perlawanan akan datang," katanya.

Dalam satu lagi perlawanan, Kelantan Warriors menewaskan Negeri Sembilan Antlers, 21-15, 21-19.