Lemas dalam kereta: Seorang lagi meninggal dunia

Empat sahabat yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta yang diparkir di sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Bukit Mertajam.
Empat sahabat yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta yang diparkir di sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Bukit Mertajam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lagi mangsa dalam kejadian empat gadis lemas dipercayai terhidu karbon monoksida disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital petang tadi.

Nor Adilah Mohd Safwan, 21, disahkan meninggal dunia pada jam 4.23 petang di Unit Rawatan Rapi Hospital Angkatan Tentera, Lumut di Perak.

Difahamkan, kembarnya Nor Aqilah yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di Kuala Lumpur masih belum sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan yang dilakukan terhadap kenderaan dinaiki empat sahabat itu disyaki mengalami kebocoran.

"Pemeriksaan turut dilakukan juruteknik dari Honda mendapati ekzos tersebut mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat.

"Akibat kebocoran tersebut menyebabkan asap disedut masuk ke dalam ruang kenderaan terbabit dan menyebabkan mereka lemas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan mengenai kegembiraan empat sahabat yang baru pulang bercuti di Pulau Jerejak semalam berakhir duka apabila dua daripada mereka maut dipercayai lemas akibat terhidu karbon monoksida ketika berehat di dalam kereta awal pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua daripada empat sahabat maut lemas dalam kereta

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian jam 1.40 pagi, keempat-empat penuntut jurusan farmasi itu dikatakan sedang berehat di dalam kereta di kawasan parkir stesen minyak di Sama Gagah sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun.

Sharifah Fariesha Syed Fathi disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan dilakukan pasukan perubatan manakala Ayuni Shazwanie Shabri meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Seberang Jaya.