X

Kindly register in order to view this article
!

Tak puas hati ditegur, lelaki belasah dua pengawal

Lokasi kejadian dua pengawal dibelasah seorang lelaki di Jalan Habour Place, Butterworth malam tadi.
A
A

BUTTERWORTH - Dua pengawal keselamatan cedera di bahagian muka selepas dibelasah seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah pangsapuri di Jalan Habour Place, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 36 dan 33 tahun sedang bertugas di pintu masuk dihampiri lelaki berkenaan yang menyewa sebuah unit inap desa di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 26 tahun itu menumbuk salah seorang mangsa sehingga menyebabkan dia terjatuh.

"Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian bibir, bengkak di bahagian kedua belah pipi dan retak pada buku lali sebelah kaki kiri.

"Rakan mangsa yang cuba membantu meleraikan pergaduhan itu turut ditumbuk oleh suspek di bahagian muka dan kepala beberapa kali hingga menyebabkan bengkak dan lebam pada mata sebelah kiri dan sakit pada bahagian kepala.

"Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan tindakan pengawal terbabit yang menegurnya membuat bising semasa dia menyewa sejak Selasa lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzaini berkata, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah itu mendaftar masuk ke pangsapuri berkenaan bersama empat lagi rakannya dan menyewa inap desa di situ selama tiga hari.

"Mereka dikatakan membuat bising dengan memasang muzik yang kuat sepanjang malam hingga mengganggu ketenteraman penduduk lain," katanya.

Menurutnya, pengawal keselamatan ada menegur mereka beberapa kali pada jam 4.30 pagi selain memberi amaran akan membuat laporan polis jika terus membuat bising.

"Mereka sepatutnya daftar keluar hari ini namun selepas memukul dua pengawal keselamatan terbabit suspek terus melarikan diri.

"Kita telah mengenal pasti identiti suspek dan percaya akan dapat menahannya dalam masa terdekat," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!