'Petting zoo' terbesar bakal dibina di Patro

Nolee Ashilin meninjau mini petting zoo yang terdapat di Patro.
Nolee Ashilin meninjau mini petting zoo yang terdapat di Patro.
A
A
A

BATU GAJAH - Zoo haiwan jinak atau petting zoo terbesar di Malaysia akan ditempatkan di Perak Agrotourism Resort (Patro) di Tanjung Tualang di sini sebagai tarikan baharu pelancongan khususnya domestik ke negeri ini.

Pembangunan projek dengan kos RM5 juta itu akan dibina di kawasan seluas empat hektar dan dijangka siap paling awal tahun hadapan.

Exco Perumahan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pembukaan zoo itu bakal menjadi pelengkap kepada konsep agropelancongan sedia ada di Patro yang menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan sektor pertanian dan perladangan kepada pelancong.

"Perak sememangnya ada kekuatan dari segi pelancongan domestik dan kita lihat dari segi produk-produk agrotourism yang diperkenalkan pula memang satu produk dicari-cari. Patro sendiri sudah ada kelebihan, perancangan yang dibuat di sini sangat memberangsangkan, mempunyai projek tanaman nenas, mempelam, fertigasi cili, ternakan ikan serta penghasilan telur masin.

"Sekarang mereka dalam peringkat menghasilkan satu lagi produk iaitu petting zoo pula yang kita yakini dapat melengkapkan pengalaman pelancongan khususnya bagi kluster Batu Gajah, Gopeng dan Kampar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis ‘Re-Launch’ Perak Agrotourism Resort di Patro di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Yahanis Yahya dan Pengarah Eksekutif Angsana Travel&Tour Sdn Bhd, Mohd Radzuan Abdul Karim.

Nolee Ashilin (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Majlis ‘Re-Launch’ Perak Agrotourism Resort di Patro hari ini.
Nolee Ashilin (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Majlis ‘Re-Launch’ Perak Agrotourism Resort di Patro hari ini.

Patro dibuka secara rasmi pada 2016 ditutup sementara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan Mac lalu dan dibuka semula kepada pelancong bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

Nolee Ashilin berkata, sempena pembukaan semula itu, Patro menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi semua produk termasuk tempahan penginapan sehingga akhir tahun ini.

"Harap pembukaan ini dan usaha-usaha dilakukan dapat memajukan lagi kawasan Patro ke tahap lebih baik," katanya.

Sementara itu, Mohd Radzuan berkata, petting zoo merupakan projek kerjasama antara kerajaan negeri menerusi PPPNP dengan Angsana Travel&Tour Sdn Bhd iaitu pengendali pengurusan Patro dan memulakan kerja-kerja awal pembinaan, bulan hadapan.

Mohd Radzuan Abdul Karim
Mohd Radzuan Abdul Karim

Katanya, idea berkenaan diilhamkan sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi meletakkan Patro sebagai destinasi utama wajib dikunjungi.

"Sebelum ini Patro memang sudah mempunyai mini petting zoo dan kita mengambil kesempatan itu dengan mengemukakan cadangan untuk wujudkan kawasan peliharaan yang lebih besar.

"Menteri Besar menyambut baik hasrat itu dan mengusulkan supaya dibina sahaja petting zoo terbesar di Malaysia memandangkan Patro sendiri ada kawasan luas. Kalau kita nak tarik pelancong ke sini kena ada satu tarikan yang besar, jadi secara tidak langsung, boleh meletakkan peta Batu Gajah dan Tanjung Tualang sebagai lokasi tarikan utama dalam negara," katanya.