Pesuruhjaya Sumpah dihina personaliti media sosial buat laporan polis

Suharnizan (tengah) bersama-sama pasukan peguamnya di hadapan IPD Johor Bahru Selatan, Larkin hari ini selepas membuat laporan polis mendakwa dihina seorang personaliti media sosial.
Suharnizan (tengah) bersama-sama pasukan peguamnya di hadapan IPD Johor Bahru Selatan, Larkin hari ini selepas membuat laporan polis mendakwa dihina seorang personaliti media sosial.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Selepas sekian lama mendiamkan diri sejak video berkenaan bentuk badan dihina seorang personaliti media sosial, Suharnizan Md Sidek, 37, akhirnya tampil membuat laporan polis hari ini.

Ibu kepada dua anak itu yang juga merupakan Pesuruhjaya Sumpah berkata, tindakan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini bagi mendapatkan keadilan buat dirinya.

Dia mendakwa, perbuatan Noorazira Pissal, sehingga menjadi tular di media sosial membuatkannya mengalami tekanan dan trauma.

"Saya juga menerima mesej peribadi tanpa henti, selain kemurungan dan gangguan emosi termasuk di tempat kerja. Saya kemudiannya mendapatkan nasihat peguam yang menyarankan tuntutan sivil dibuat terhadap individu itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada 18 Ogos lalu kira-kira jam 10 pagi, Suharnizan menulis komen "live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?" menerusi video secara langsung sebelum dikongsikan rakannya di Facebook personaliti tersebut.

Personaliti media sosial itu kemudiannya membuat satu rakaman video dan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat kepada Suharnizan dengan menyamakan bentuk tubuhnya dengan haiwan termasuk memaparkan gambarnya bersama anak sebelum video berkenaan tular.

Bagaimanapun, selepas mendapat kecaman netizen, personaliti itu tampil sekali lagi menerusi sebuah video memohon maaf di atas perbuatannya, mendakwa gagal mengawal emosi dan menjaga tutur kata sehingga menyebabkan ramai pihak rasa tersinggung.

Sementara itu, Suharnizan berkata, pada mulanya dia tidak menyedari video berkenaan menjadi tular sebelum dimaklumkan rakannya mengenai perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Apabila saya menyemak dan meneliti, saya mendapati individu itu sengaja melakukan perkara itu tanpa kebenaran mahupun pengetahuan saya. Saya tidak mengambil apa-apa tindakan ketika itu dan mengharapkan perkara ini 'mati' dengan sendirinya.

"Namun semalam, saya dimaklumkan terdapat satu paparan video yang dimuat naik dan dikongsikan dalam media sosial oleh pentadbir Facebook yang menggunakan nama 'Makcik Bawang Channel' dan 'Makcik Kiah Channel' dengan kandungan video selama lapan minit memaparkan antara lain menghina rupa fizikal saya sehingga tular mencapai ribuan pautan serta komen," katanya.

Selain paparan tular sehingga ke YouTube, dia mendakwa terdapat juga pihak tidak dikenali cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan imejnya iaitu mewujudkan Facebook dan Page palsu atas namanya.

Sementara itu, peguam Suharnizan, Mohd Rasheed Hassan berkata, pihaknya sudah menghantar notis tuntutan sivil kepada personaliti itu yang merangkumi permohonan maaf secara terbuka dan membayar kos pampasan serta ganti rugi dalam tempoh 14 hari.

Pihaknya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat kerana 'body shaming' boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun, denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya akan melakukan siasatan berkenaan laporan tersebut.