X

Kindly register in order to view this article
!

1MDB: Jho Low orang kanan Najib, atur keputusan

Jho Low
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low ialah orang kanan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mencaturkan hal ehwal urusan syarikat 1MDB yang membawa mandat perdana menteri.

Mohd Hazem Abdul Rahman, 47, saksi pendakwaan ke-10 menyatakan enam alasan mengapa beliau berpendapat sedemikian.

Pertama, katanya pengenalannya dengan Jho Low adalah melalui Datuk Azlin Alias iaitu Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu jelas menunjukkan bahawa Jho Low ialah orang yang mempunyai akses kepada pasukan kerja di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan membawa mandat perdana menteri.

Kedua katanya, akses Jho Low terus dengan Najib yang beliau pernah nampak beberapa kali ketika beliau mempunyai pertemuan dan perbincangan dengan Najib berhubung 1MDB, Jho Low akan turut sama hadir.

“Saya sahkan kehadiran Jho Low bersama Datuk Seri Najib di beberapa tempat luar negara seperti di New York pada tahun 2013 dan di Abu Dhabi sekitar tahun 2013 dan 2014 apabila saya menghadiri majlis menandatangani (perjanjian) atau bermesyuarat dengan pihak pelabur luar,” katanya dalam penyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Ketiga Mohd Hazem berkata, dalam beberapa mesyuarat tentang 1MDB dengan Najib di rumah bekas perdana menteri itu, beliau melihat Najib berbincang dengan Jho Low terlebih dahulu barulah Najib akan berjumpa dengannya.

“Setelah itu kami bertiga akan bermesyuarat tentang isu 1MDB yang Jho Low memainkan peranan aktif dalam perbincangan tersebut,” katanya.

Keempat, katanya pertemuannya dengan Jho Low adalah melalui Azlin yang diakui sendiri oleh Azlin bahawa Jho Low mewakili perdana menteri dalam 1MDB.

Kelima, katanya Jho Low telah menyusun orang-orang beliau (proksi) dalam 1MDB antaranya ialah Jasmine Loo dan Terence Geh iaitu untuk melantik pengurusan kanan perlulah diluluskan dan diperkenankan oleh Najib terlebih dahulu.

Sebab terakhir katanya Jho Low juga menyusun ahli lembaga pengarah (BOD) yang dipengerusi oleh Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, supaya kesemua aktiviti dalam 1MDB akan mudah diberi persetujuan oleh pihak BOD.

AKAN MENYUSUL


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!