Polis cari lelaki tunggang motosikal guna kaki

Aksi lelaki berkenaan dirakamkan seorang pengguna jalan raya sehingga menjadi tular di laman sosial.
Aksi lelaki berkenaan dirakamkan seorang pengguna jalan raya sehingga menjadi tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mencari seorang lelaki yang bertindak mengawal hendal motosikal ditungganginya dengan menggunakan kaki dalam kejadian di Jalan Kucing di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, semakan mendapati motosikal terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 61 tahun.

Beliau berkata, berdasarkan alamat yang didaftarkan, anggota polis sudah pergi ke rumah terbabit dan mendapati motosikal itu digunakan anak lelakinya ketika kejadian.

"Ketika sampai di rumah itu, anak pemilik motosikal itu tidak berada di rumah dan usaha mengesannya giat dijalankan.

"Motosikal tersebut kemudian dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Zulkefly berkata, polis mencari lelaki berkenaan yang dikenali sebagai M Thiruvarasu, 36, beralamat di Selayang Baru di sini untuk membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, aksi berbahaya lelaki berkenaan yang mengawal handel motosikal dengan menggunakan kaki menjadi tular di media sosial sejak semalam menerusi satu video berdurasi 41 saat.

Artikel Berkaitan:

Lelaki itu duduk di atas motosikal yang sedang meluru laju sambil tangannya memegang sebungkus air minuman.

Video berkenaan menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penunggang motosikal berkenaan.