TNB lebur rekod tanpa kalah THT

No Image Caption
A
A
A

PENDAHULU Liga Hoki Malaysia (LHM), Tenaga Nasional Berhad meleburkan rekod tanpa kalah Kelab Hoki Terengganu (THT) selepas menang tipis 3-2 ke atas pasukan berkenaan di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Keputusan tersebut menyaksikan TNB terus mengungguli carta Divisyen Premier LHM dengan kutipan 15 mata selepas beraksi enam perlawanan setakat ini.

Pada aksi berkenaan, pemain kebangsaan Firhan Ashaari meletakkan TNB di hadapan menerusi gol padang seawal minit ketujuh, sebelum pemain import dari Korea Selatan, Jung Manjae menyamakan kedudukan THT menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-20.

Seorang lagi pemain kebangsaan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi kembali meletakkan TNB di hadapan hasil gol padang pada minit ke-31 sebelum pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun menyamakan kedudukan pada minit ke-48.

Pemain skuad remaja kebangsaan, Shello Silverius memastikan kemenangan TNB dengan jaringan gol padangnya pada minit ke-58.

Dalam pada itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengekalkan rekod tanpa kalah selepas lima perlawanan dengan menundukkan TNB Thunderbolts 4-1 pada aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Empat gol UniKL dijaringkan pemain import dari Australia, Kieran Govers menerusi gol padang pada seawal minit kelima, dua gol pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-25 dan minit ke-39, selain gol padang pemain import dari Belanda, Robert Huib Kemperman pada minit ke-51.

TNB Thunderbolts meraih gol saguhati menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Nur Asyraf Ishak pada minit ke-46.

Artikel Berkaitan:

Maybank pula kembali meraih kemenangan setelah mengalahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 3-0 pada satu lagi aksi di Stadium Hoki Nasional.

Tiga gol pasukan tuan rumah dijaringkan bekas pemain kebangsaan, Hafifihafiz Hanafi, hasil pukulan sudut penalti pada minit ketujuh dan minit ke-60, selain pukulan sudut penalti pemain kebangsaan, Muhammad Haziq Samsul pada minit ke-15. - Bernama