Regu Perak diingatkan jangan terlalu selesa

Pemain, jurulatih pegawai Perak meraikan kejayaan menjuarai Sirkit Kedua Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Remaja STL - Road To Sukma 2020 baru-baru ini bersama Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail.
Pemain, jurulatih pegawai Perak meraikan kejayaan menjuarai Sirkit Kedua Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Remaja STL - Road To Sukma 2020 baru-baru ini bersama Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail.
A
A
A

PEMAIN Perak diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan prestasi cemerlang dalam saingan Sirkit Kedua Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Remaja STL - Road To Sukma 2020 baru-baru ini, sebaliknya perlu bekerja keras memantapkan persembahan bagi mengharungi sirkit ketiga yang bermula Jumaat ini.

Menurut Pengendali Perak, Suhairi Abd Aziz, biarpun secara keseluruhan dia berpuas hati dengan persembahan dan komitmen dalam kalangan pemain-pemain, namun masih terdapat beberapa elemen yang boleh dilakukan penambahbaikan.

“Alhamdulillah, saya gembira pemain-pemain Perak sekali lagi berjaya mengekalkan prestasi masing-masing pada tahap terbaik seperti semasa saingan sirkit pertama sebelum ini.

“Namun saya tidak mahu dua kejayaan ini membuatkan pemain-pemain leka dan lalai serta memandang mudah keupayaan lawan. Kita kena ingat lawan sentiasa melakukan kerja rumah ke atas Perak, jadi pemain perlu meningkatkan fokus dan paling penting tidak bersikap sambil lewa terhadap lawan.

“Saya akan melakukan beberapa penambahbaikan bagi mengatasi beberapa kelemahan dari aspek teknikal seperti kawalan bola, umpanan, rejaman dan servis.

“Aspek persediaan mental dan fizikal dalam kalangan pemain juga akan diperkuatkan supaya mereka lebih bersedia apabila berdepan saingan lebih sengit selain kepadatan jadual perlawanan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sirkit kedua di Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat AU2 Kuala Lumpur menyaksikan Perak mengungguli saingan liga sembilan pasukan apabila meraih 13 mata hasil lima kemenangan dan tiga seri.

Pada sirkit pertama sebelum ini Perak juga memulakan kempen langkah kanan apabila muncul juara diikuti Pulau Pinang kedua manakala Terengganu ketiga.

Artikel Berkaitan:

Untuk sirkit ketiga yang merupakan sirkit inter regu, Perak dijangka mempertaruhkan Najmi Shahfiq Anuar, Muhamad Muhaimin Othman, Muhammad Nazrul Iman Mohd Yusoff, Muhammad Zarfan Khairon Anuar dan Muhammad Zameer Khairon Anuar.