Lebih 40 ditipu ejen hartanah, kerugian RM3 juta

Moi Hon (tiga dari kanan) dan Mong Boon (kanan) pada sidang akhbar di Pejabat MCA Pasir Gudang hari ini menunjukkan gambar Janon dan ejen hartanah yang didakwa menipu mereka.
Moi Hon (tiga dari kanan) dan Mong Boon (kanan) pada sidang akhbar di Pejabat MCA Pasir Gudang hari ini menunjukkan gambar Janon dan ejen hartanah yang didakwa menipu mereka.
A
A
A

PASIR GUDANG - Impian seorang suri rumah untuk memiliki sebuah kedai bagi menjalankan perniagaan kedai makan berkecai apabila ditipu RM36,000 daripada seorang ejen hartanah, dalam kejadian tiga tahun lalu.

Mangsa, Chia Moi Hon, 45, termakan janji manis ejen berkenaan kononnya boleh mendapatkan lot berkenaan yang bernilai RM300,000 di kawasan Tebrau, Johor Bahru dalam tempoh 200 hari.

"Saya menggunakan RM36,000 hasil wang simpanan sejak lima tahun lalu. Urus niaga mereka nampak meyakinkan pada awalnya apabila kami menandatangani dokumen perjanjian pembelian yang disahkan peguam dan disertakan setem hasil.

"Namun setelah tamat masa dijanjikan, proses pembelian tergantung. Ketika dihubungi, mereka banyak berdolak-dalik memberi seribu satu alasan, daripada situlah saya tahu saya telah diperdaya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat MCA Pasir Gudang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Bahagian Pasir Gudang, Lim Thow Siang dan timbalannya, Ang Tun Chek.

Sementara itu, seorang mangsa lain, Teng Mong Boom, 45, mendedahkan ditipu selepas menyerahkan deposit RM24,000 kepada seorang ejen hartanah terbabit bagi pembelian lot kedai setingkat yang ditandatangani pada 2018 di kawasan sama.

"Saya berurusan dengan ejen berkenaan selepas tertarik dengan iklan di Facebook dan terus menghubungi mereka sebelum membuat pembayaran deposit secara tunai.

"Lot kedai yang ditawarkan itu boleh dikatakan murah jika dibandingkan dengan lot kedai lain yang boleh mencecah RM1 juta. Sebab itu, saya menggunakan khidmat mereka bagi tujuan meluaskan perniagaan barangan elektrik," katanya.

Artikel Berkaitan:

"Namun setelah setahun berlalu, mereka senyap begitu sahaja dan dia pernah menghubungi pengurus ejen hartanah yang dikenali sebagai Janon pada bulan lalu dan berjanji akan mengembalikan duit deposit itu tetapi hingga sekarang tiada khabar berita," katanya.

Begitu juga Lau Chin Chiang, 45, yang turut ditipu selepas membayar RM43,000 untuk membeli lot kedai perniagaan tetapi senyap begitu sahaja sebelum bersama-sama Mong Boon membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Thow Siang berkata, pengurus ejen hartanah yang dikenali sebagai Janon itu dipercayai telah memperdaya lebih 40 individu bagi membeli lot kedai dan rumah dengan nilai kerugian hampir RM3 juta.

Katanya, taktik yang digunakan Janon ialah dengan memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Persatuan Kepolisian Komuniti kawasan Johor Jaya bagi menunjukkan mempunyai hubungan baik dengan polis untuk meyakinkan mangsa.

"Saya yakin ramai di luar sana yang turut menjadi mangsa penipuan lelaki ini. Saya berharap mereka boleh tampil ke pejabat MCA Pasir Gudang atau menghubungi timbalan saya, Tun Chek di talian 019-7720906," katanya.