KPLB angkat usahawan cemerlang RBC sebagai mentor

Iklan
Abdul Rahman (tiga dari kanan) berpeluang melihat sendiri sistem pengurusan kandang kambing milik Syarikat Retro Hebat Enterprise yang memenangi geran perniagaan usahawan RBC berjumlah RM300,000 pada 2013 di Kampung Kimolohing, Sabah hari ini.

SHAH ALAM - Peserta yang cemerlang di bawah program Rural Business Challenge (RBC) kelolaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan dilantik sebagai mentor bagi membimbing bakal usahawan lain.

Timbalan Menteri Pembangunan 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KPLB sentiasa memberi galakan kepada usahawan yang menyertai program RBC bagi meningkatkan tahap pendapatan dan sosio ekonomi seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar.

Iklan
Iklan

"RBC merupakan sebuah program di bawah Pelan Transformasi Kerajaan yang berkonsepkan pertandingan Rancangan Perniagaan (RP) yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 hingga tahun 2017 bagi membantu usahawan belia luar bandar untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Usahawan yang memenangi pertandingan RBC ini bakal menerima geran perniagaan. Sehingga kini seramai 209 usahawan telah menerima faedah geran merangkumi pelbagai sektor termasuk pertanian, pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan desa yang berjumlah RM77.08 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke premis Syarikat Retro Hebat Enterprise yang memenangi geran perniagaan usahawan RBC berjumlah RM300,000 pada 2013 di Kampung Kimolohing, Sabah hari ini.

Pemilik premis berkenaan, Sably Yusin menjalankan perniagaan penternakan kambing dan geran kemenangan itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi pembinaan kandang kambing, pembinaan stor pemprosesan, penyimpanan peralatan dan makanan ternakan serta menaik taraf infrastruktur utiliti seperti kemudahan air serta elektrik.

Iklan

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, melalui geran kemenangan itu juga, Sabry telah berjaya meningkatkan pendapatan kasar daripada RM800 kepada sehingga RM25,000 sebulan ketika ini.

"Selain itu beliau juga berjaya mewujudkan lima peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan membimbing lebih 30 usahawan dalam bidang itu.

"Sebelum ini beliau hanya mampu menjual dua ekor kambing sebulan tetapi kini jumlah jualannya mencecah sehingga 30 ekor sebulan," jelasnya.