'Rakyat ikat perut, ahli Parlimen kerajaan boleh makan udang galah...'

Iklan
Prabakaran pada sidang akhbar di Parlimen hari ini menunjukkan gambar ahli Parlimen kerajaan yang turut serta pada jamuan di bilik Ketua Whip Ahli Parlimen PN.

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang hari ini membangkitkan persoalan berhubung hidangan istimewa di bilik Ketua Whip Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mendakwa, hidangan bermula 13 Julai hingga 27 Ogos ini menelan belanja sehingga RM10,000 yang ditaja oleh kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Iklan
Iklan

Menurut Prabakaran, peruntukan tersebut sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat yang berdepan dengan kesan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Dalam jadual tersebut, antara kementerian dan GLC yang menaja jamuan itu ialah Kementerian Kewangan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Amanah Raya (Mara), Tekun, Prasarana, Felda dan MPOB (Malaysia Palm Oil Board).

Iklan

"Saya ingin tanya, peruntukan yang digunakan oleh kementerian dan GLC ini duit siapa? Ini wang rakyat bagi tujuan memajukan negara," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Senarai kementerian dan GLC dan harga menu yang dikemukakan Prabakaran pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Prabakaran turut mempersoalkan keperluan disediakan hidangan tersebut kerana kafetaria telah disediakan di Parlimen untuk ahli Parlimen makan dan minum.

Iklan

"Saya juga difahamkan ada ahli Parlimen yang membungkus dan membawa pulang ke rumah masing-masing. Dalam keadaan rakyat mengikat perut sehingga ada yang makan ubi kentang, ahli Parlimen kerajaan boleh makan udang galah, ketam, ayam kampung dan pelbagai masakan yang enak," bidasnya.

Prabakaran pada sidang media sama turut mengajak peneroka Felda untuk hadir ke Parlimen pada 25 Ogos ini untuk makan bersama ahli Parlimen kerajaan kerana jamuan tersebut ditaja oleh Felda.

"Mereka menggunakan wang peneroka untuk mengadakan jamuan makan di Parlimen," katanya.