'Kerajaan tidak endah desakan rakyat lanjut moratorium'

Iklan
Akmal Nasir. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Akmal Nasir (PH-Johor Bahru) menyifatkan jawapan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai moratorium di Dewan Rakyat semalam seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan tidak mengendahkan desakan rakyat yang meminta tempoh moratorium dilanjutkan.

Jurucakap Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Belia dan Sukan itu berkata, Tengku Zafrul menyatakan sektor perbankan dianggarkan mengalami RM1.06 bilion setiap bulan atau sebanyak RM6.4 bilion sepanjang tempoh moratorium.

Iklan
Iklan

Susulan daripada itu menurutnya, beliau menerima beberapa pertanyaan daripada kumpulan anak muda mengenai mengapa kerajaan tidak boleh berunding dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak bank untuk melanjutkan moratorium.

"Apakah yang dimaksudkan dengan kerugian oleh sektor perbankan sebanyak RM1.06 bilion setiap bulan untuk tempoh enam bulan? Pemahaman rakyat di luar sana, moratorium adalah penangguhan bayaran ansuran bukannya pembatalan hutang.

Iklan

"Bagaimana pula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi 3.0 iaitu Layanan Cukai Khas Kepada Institusi Kewangan Ke Atas Pemberian Moratorium Kepada Pelanggan?

"Selain itu, Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) yang dikuatkuasakan sejak 2011 bertindak dalam memastikan kestabilan kewangan dengan menginsuranskan wang yang didepositkan kepada bank-bank yang dilindungi PIDM," katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, bank dijangka hanya akan menanggung kerugian apabila pinjaman yang diberikan bertukar menjadi Pinjaman Tak Berbayar atau Non Performing Loans (NPL).

Sehubungan itu Akmal menggesa kerajaan untuk menimbangkan penyambungan tempoh moratorium untuk enam bulan bagi mengurangkan bebanan kepada rakyat biasa.

"Ia juga bagi mengelakkan berlakunya krisis kewangan sekiranya peningkatan NPL yang mendadak apabila moratorium ditamatkan sedangkan ekonomi belum pulih,” katanya.