14 warga asing ditahan dalam sekatan jalan raya

Iklan
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 14 warga asing dalam Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan Imigresen melalui 60 sekatan jalan raya yang dilaksanakan di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 38,474 kenderaan turut diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama di lorong-lorong tikus.

Iklan
Iklan

"Operasi Benteng yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI.

"Sekatan juga bertujuan mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19," katanya menerusi kenyataan media Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Hari Ke-96 dan Hari Ke-12 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah melakukan 66,468 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Iklan

"Seramai 3,503 pasukan pematuhan telah membuat pemantauan melibatkan seramai 15,432 anggota pelbagai agensi.

"PDRM telah menahan 20 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu, seramai 10 individu telah direman dan 10 lagi dikenakan kompaun.

Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti karaoke dan pusat hiburan keluarga (enam), aktiviti dalam pub atau kelab malam (lapan) mencuba pakaian di kedai pakaian (seorang) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (lima)," katanya.