RUU E-Dagang dibentang tahun depan - Fuziah

Iklan
Fuziah melakukan lawatan ke reruai usahawan yang mengambil bahagian sempena Program Akses Peruncitan 2026 di Kuantan.

KUANTAN - Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang akan dibentangkan di Parlimen pada mesyuarat pertama tahun depan bagi memperkukuh kawal selia urus niaga dalam talian.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, draf awalnya sudah disiapkan dan kini sedang melalui proses penambahbaikan sebelum dibentangkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ini belum ada perundangan khusus bagi mengawal selia e-dagang justeru cadangan RUU itu sebagai usaha memperkukuhkan akauntabiliti platform dan penjual dalam talian.

"Rundingan-rundingan ini berlaku bagi kepentingan kedua-dua pihak," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Penutup Program Akses Peruncitan 2026 di sini pada Ahad.

Iklan

RUU E-Dagang yang dicadangkan dalam Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh kerangka kawal selia industri perdagangan digital yang semakin berkembang, termasuk memastikan platform e-dagang beroperasi mengikut piawaian dan tanggungjawab ditetapkan.

Langkah itu juga dilihat penting bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih adil antara platform antarabangsa dengan peniaga tempatan.

Iklan

Perkembangan pesat transaksi dalam talian turut meningkatkan keperluan terhadap perlindungan pengguna, keselamatan produk serta ketelusan urus niaga.

Fuziah (tengah) selepas Majlis Penutup Program Akses Peruncitan 2026 di Kuantan pada Ahad.

Sementara itu, Fuziah berkata, KPDN bertanggungjawab kepada semua rantaian perdagangan seperti pengedaran, pemborongan dan peruncitan termasuk e-dagang.

"Semua rangkaian kedai-kedai runcit di bawah KPDN, maksudnya, apabila usahawan berurusan dengan KPDN, maka itu adalah pintu laluan untuk mereka berurusan dengan semua rangkaian peruncitan ini.

"Pada masa yang sama, KPDN juga bertanggungjawab untuk e-dagang ataupun pasaran dalam talian ini," katanya.

Justeru katanya, KPDN bertanggungjawab membantu atas masalah berkaitan selain menjadi pengantara usahawan untuk berunding dengan penyedia pasaran.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, Program Akses Peruncitan 2026 membantu usahawan meningkatkan keupayaan perniagaan selain menyediakan platform untuk menghubungkan usahawan dengan pemain industri peruncitan melalui latihan pembangunan perniagaan dan padanan perniagaan.

Menurutnya, pendekatan itu bertujuan merapatkan jurang antara kemampuan pengeluaran produk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan keperluan sebenar pasaran, sekali gus membolehkan produk tempatan berkembang daripada perniagaan berskala kecil kepada jenama berdaya saing dan mempunyai capaian pasaran lebih luas.

"Dalam tempoh 2023 hingga Oktober ini, Program Akses Peruncitan telah membantu 552 unit penyimpanan stok (SKU) dan 103 jenama tempatan menembusi pasar raya serta rangkaian peruncitan utama negara.

"Pencapaian ini merupakan hasil peningkatan keupayaan 1,862 usahawan menerusi 38 siri latihan perniagaan, selain 21 siri padanan perniagaan yang menghimpunkan 889 syarikat PMKS bersama 165 syarikat sektor peruncitan," katanya.