KMUM tuntut UM kurangkan yuran pengajian

Iklan
Muhammad Haziq (kiri) menyerahkan petisyen yang ditandatangani oleh 23,446 mahasiswa UM kepada pegawai Naib Canselor UM, Mohd Khairi (kanan).

SHAH ALAM - Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menuntut pihak pengurusan tertinggi universiti itu dapat mengurangkan yuran pengajian mereka.

Presidennya, Muhammad Haziq Azfar Ishak berkata, satu petisyen berhubung perkara itu telah diserahkan kepada Naib Canselor Universiti Malaya melalui Pegawai Khasnya, Mohd Khairi Md Jaafar kelmarin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, petisyen itu merupakan salah satu inisiatif KMUM dalam mengumpulkan suara mahasiswa bagi menuntut pengurangan yuran pengajian kepada pihak-pihak berkenaan.

"Petisyen ini dilancarkan pada 1 Jun lalu dan telah mendapat 23,446 tandatangan dan sokongan yang mencerminkan pengurangan yuran pengajian ini merupakan isu yang penting bagi mahasiswa di universiti ini.

Iklan

"KMUM juga telah melakukan pengiraan mengenai jumlah pengurangan yang boleh dilakukan dan mendapati pengurangan yuran boleh dilakukan sehingga RM250 atau 25 peratus daripada jumlah yuran pengajian semasa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz bagi memberikan sokongan terhadap penyerahan petisyen tersebut.

Iklan

Mengulas lanjut, Muhammad Haziq Azfar berkata, KMUM telah mengambil pelbagai inisiatif sebelum ini bagi memperjuangkan isu berkenaan sejak April lalu.

Katanya, tiga asas utama tuntutan itu melibatkan pelbagai fasiliti dan perkhidmatan yang tidak digunakan terutamanya melibatkan kos utiliti, perpustakaan, fasiliti dan infrastruktur termasuklah bas perantara, kos logistik bagi peperiksaan akhir termasuklah cetakan kertas soalan.

"Asas kedua adalah bagi menuntut peratusan subsidi yuran pengajian semasa yang sama dan ketiga adalah pengurangan yuran pengajian bagi membantu rakan-rakan mahasiswa yang tergolong dalam keluarga B40 (60 peratus mahasiswa),” jelasnya.

Justeru, katanya, KMUM menggesa pihak yang terlibat untuk mengambil tindakan segera termasuklah meluluskan usul ini dalam Jawatankuasa Yuran Universiti (JYU) dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU).

Katanya, KMUM turut berpendapat bahawa sudah tiba masanya kerajaan semasa dapat memainkan peranannya dalam menjuarai isu ini sekali gus membolehkan mahasiswa memanfaatkan subsidi yuran pengajian yang diberikan kerajaan.

"Sebaliknya, mahasiswa membayar yuran pengajian sebanyak hampir RM1,000 per semester bersesuaian dengan perkhidmatan dan fasiliti yang digunakan sebelum pandemik Covid-19.

"Dalam keadaan mahasiswa sekarang yang menjalani pembelajaran atas talian, mahasiswa seolah-olah membayar lebih berbanding dengan perkhidmatan dan fasiliti yang digunakan sekarang jauh lebih sedikit berbanding ketika mereka berada di kampus.

"Jika keadaan ini dibiarkan, subsidi yuran pengajian yang diberikan oleh kerajaan seperti sudah tidak mencerminkan kadar 90 peratus, malah jika dibiarkan peratusan subsidi yuran pengajian ini seolah-olah sudah berkurangan,” katanya.