575 mangsa banjir kilat di Kampung Melayu Subang, lapan keluarga berlindung di PPS

Iklan
Antara mangsa banjir kilat di Kampung Melayu Subang yang ditempatkan di PPS Dewan Siantan, Sungai Buloh.

SUNGAI BULOH - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor merekodkan seramai 575 mangsa daripada 253 keluarga yang terjejas akibat kejadian banjir kilat di Kampung Melayu Subang di sini pada Isnin.

Daripada jumlah itu, lapan keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Siantan, manakala baki 245 keluarga menumpang di rumah saudara-mara terdekat.

Iklan
Iklan

Jumlah itu direkodkan setakat jam 11.15 pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Azmir Kassim berkata, jumlah mangsa banjir itu diperoleh melalui proses pendaftaran yang dijalankan sejak pagi tadi.

Iklan

"Lapan keluarga membabitkan 30 individu kini mendiami PPS selepas kediaman mereka terjejas teruk akibat musibah banjir.

"Dewan Siantan adalah PPS yang baharu dibuka atas arahan Pengerusi Bencana Daerah susulan kejadian hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Azmir berkata, pada awalnya JKM menyediakan dua pusat pemindahan di kawasan tersebut.

"Memandangkan hanya lapan keluarga mendiami PPS ini (Dewan Siantan), maka JKM memutuskan untuk mengoperasikan hanya satu PPS secara sepenuhnya di kawasan ini.

"Setakat ini, kita jangkakan PPS ini tidak akan beroperasi dalam tempoh yang panjang dan mungkin sehingga dua atau tiga hari ini, namun ia bergantung pada keadaan cuaca semasa," katanya.

Beliau berkata, selain pegawai dan kakitangan JKM Selangor, kerja-kerja menguruskan mangsa banjir di PPS turut dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah Daerah Petaling dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Tinjauan di kawasan berhampiran mendapati sebahagian besar penduduk sedang bertungkus-lumus membersihkan kediaman mereka termasuk mencuci peralatan dan kelengkapan rumah yang dikotori lumpur akibat banjir.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebanyak 92 rumah terjejas dan dua mangsa dipindahkan akibat banjir di sekitar Kampung Melayu Subang susulan hujan lebat di Lembah Klang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.18 petang.

Anggaran jumlah kediaman dinaiki air ialah 30 rumah di Lorong Merbau, Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50).

Pada peringkat awal, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 50-an dan seorang bayi ditempatkan di PPS Dewan Siantan.