406 peneroka Felda Chini Timur 1 terima geran

Iklan
Penyerahan geran tanah kepada 406 peneroka Felda Chini Timur 1 Pekan, Pahang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdi Wan Ismail hari ini

SHAH ALAM - Seramai 406 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Chini Timur 1 Pekan, Pahang menerima geran hak milik tanah hari ini.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, jumlah itu membabitkan 430 jumlah keseluruhan peneroka Felda Chini Timur 1.

Iklan
Iklan

Menurutnya, 24 peneroka lagi menerima surat jaminan kerana isu pewarisan perlu diselesaikan sebelum hak milik dikeluarkan.

"Felda berusaha memastikan penyerahan geran hak milik tanah disegerakan sebaik mungkin kerana terdapat pelbagai isu perundangan yang terpaksa diselesaikan terlebih dahulu.

Iklan

"Selepas menjadi hak milik, peneroka perlu bertanggungjawab membayar cukai setiap tahun dan mengusahakan tanah sebaik mungkin.

"Saya harap mereka tidak memajak, mencagar dan menjual tanah tersebut kepada mana-mana pihak tanpa persetujuan Felda dan kebenaran pihak berkuasa negeri," katanya.

Iklan

Terdahulu penyerahan geran berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdi Wan Ismail.

Rancangan Felda Chini Timur 1 dibangunkan pada 29 April 1975 dan menempatkan keseluruhan 430 peneroka pada tahun 1983 dan merupakan salah satu daripada 42 rancangan di bawah pentadbiran Pejabat Felda Wilayah Kuantan yang terletak dalam Daerah Pekan, Negeri Pahang.

Seramai 38,654 daripada 43,126 peneroka Felda di Pahang menerima geran hak milik dan 81 daripada 115 rancangan Felda di Pahang selesai menerima hak milik.