KUALA LUMPUR - Kanak-kanak seawal usia 10 tahun dikesan mula terbabit dalam salah laku seksual, manakala sebahagian remaja pula terjerat dalam kegiatan pengedaran dadah sebagai keldai dadah.
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan perkara tersebut berdasarkan pengalamannya ketika berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan telefon bimbit serta pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada pengaruh negatif, khususnya menerusi platform dalam talian.
“Trend itu bermula apabila kanak-kanak mula berinteraksi melalui panggilan video dengan individu yang dikenali secara dalam talian sebelum terpengaruh untuk menayangkan bahagian sulit.
“Ada juga remaja yang menggunakan aplikasi Telegram untuk menghasilkan dan menjual kandungan lucah mampu meraih sekitar RM20,000 hingga RM30,000,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Konvensyen Perdana Ceramah Maulidur Rasul 2026 Siri Ke-6 di Dewan Matrade, Kuala Lumpur di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ayob Khan turut mengingatkan golongan muda agar memahami implikasi undang-undang berkaitan hubungan seksual bawah umur.
Tegasnya, tindakan undang-undang tetap terpakai walaupun hubungan berkenaan didakwa atas dasar suka sama suka.
"Ada juga dalam kalangan pelajar kita ini yang bawah umur, dia tak tahu. Mungkin budak lelaki ini umur 19 tahun, tapi budak perempuan tu bawah 16 tahun.
"Walaupun suka sama suka, kalau ditangkap, memang ke dalamlah dia. Banyak budak remaja kita tak faham. Dia ingat, 'Eh suka sama suka, okey.' Banyak kes seperti ini ditangkap," katanya
Selain itu, beliau mengesahkan isu salah laku remaja kini tidak lagi terbatas kepada jenayah seksual semata-mata, malah ada yang terjerat menjadi keldai dadah kerana diberi imbuhan besar.
"Ada juga budak-budak kita yang digunakan sebagai keldai dadah. Mereka diarahkan atau diminta untuk membawa barang (dadah) pergi ke sesuatu tempat.
"Mustahil mereka tidak tahu (ia barangan terlarang), mereka sebenarnya tahu tetapi tetap terlibat sebab diberi imbuhan dan pulangan yang besar.
“Sebab tu banyak remaja kita terlibat dalam dadah, sama ada sebagai penagih dadah ataupun juru dadah. Tapi kalau kena, memang habis,” katanya.