Tiada kesepakatan negeri punca PKPB bercelaru

Iklan
Lim Kit Siang

SHAH ALAM - Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tiada kesepakatan antara kerajaan negeri dan Pusat ketika mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula menjadi punca kecelaruan semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilaksanakan sejak semalam.

Menurutnya, mesyuarat kedua ketua menteri dan menteri besar seharusnya perlu diadakan terlebih dahulu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

Iklan
Iklan

"Inilah yang perlu dilakukan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) sekarang daripada mengeluarkan kenyataan ugutan untuk mengambil tindakan undang-undang seperti malam tadi.

"Apa yang berlaku ini seolah-olah ‘tangan kanan tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kiri’, katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhubung kerajaan negeri kemungkinan berdepan tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh pihak industri jika sektor ekonomi tidak dibuka semula di bawah PKPB.

Semalam Azmin selaku Menteri Kanan (Ekonomi) berkata, keputusan kerajaan Persekutuan membuka semula ekonomi adalah sah dari segi undang-undang.

Iklan

Katanya, jika kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama untuk melaksanakan Akta 342 yang telah dijadikan undang-undang yang berkuat kuasa di seluruh negara, kerajaan negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak khususnya dari pihak industri.

Terdahulu enam negeri dilaporkan iaitu Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah tidak akan membuka semula sektor ekonomi masing-masing pada Mei dan akan meneruskan PKP.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut mempertikaikan kenyataan Azmin berhubung tindakan saman terhadap negeri yang enggan membuka semula sektor ekonomi mereka.

Katanya, tindakan itu disifatkan sebagai satu ugutan sebaliknya memberitahu agar kata sepakat mengenai perkara tersebut perlu dicapai melalui perbincangan bersama.

"Adakah ini sebahagian daripada 'the new normal'? Kerajaan Pusat ugut kerajaan negeri. Ini zaman pintu belakang atau 'tebuk atap', budaya tata-kelola yang 'baharu'?

"Duduk bersama bincang baik-baik. Fahami sebab-sebab keengganan, cari penyelesaian. Tu pun kena ajar ke? Ini dak, main ugut,” ciapnya di Twitter hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Negeri-Negeri dan Persekutuan Parlimen, Hassan Abdul Karim turut tidak bersetuju dengan kenyataan dikeluarkan Menteri Kanan (Ekonomi) itu.

Sebaliknya Ahli Parlimen Pasir Gudang itu mengingatkan Azmin bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sama-sama mempunyai kuasa berhubung kesihatan awam dan pencegahan penyakit di bawah Perlembagaan Persekutuan.