JOHANNESBURG – Lima pokok baobab gergasi yang dianggarkan berusia antara 200 hingga 300 tahun berjaya diselamatkan daripada dieksport secara tidak sah ke Georgia selepas pihak berkuasa Afrika Selatan memintas penghantaran berkenaan.
Pokok yang menjadi antara khazanah alam semula jadi Afrika itu kini ditanam semula di Rizab Alam Semula Jadi Timbavati, Limpopo, selepas melalui operasi pemindahan sejauh hampir 1,000 kilometer dari Durban.
Menurut laporan Associated Press (AP), kelima-lima pokok itu dipercayai dicabut dari kawasan Lephalale, Limpopo, sebelum dibawa ke sebuah kawasan penyimpanan syarikat logistik di Durban pada Julai lalu.
Pihak berkuasa merampas pokok berkenaan pada 17 Julai selepas mendapati pihak yang bertanggungjawab tidak dapat mengemukakan permit diperlukan untuk mencabut, mengangkut dan mengeksport spesies pokok yang dilindungi itu.
Pokok berkenaan kemudian terbiar di kawasan parkir premis logistik selama lebih empat bulan sementara pihak berkuasa menguruskan proses pemindahan dan penanaman semula.
Kelima-limanya dipercayai seberat antara 20 hingga 30 tan setiap satu, sekali gus memerlukan penggunaan trak pengangkut khas, kren dan jentera pengorek bagi melaksanakan operasi menyelamat.
Menurut Jabatan Perhutanan, Perikanan dan Alam Sekitar Afrika Selatan (DFFE), pokok itu dijadualkan dihantar kepada seorang pengumpul persendirian yang tidak dikenal pasti di Georgia.
Tempoh terlalu lama terbiar di luar tanah menimbulkan kebimbangan terhadap peluang pokok berkenaan untuk terus hidup.
Akar dan sebahagian dahannya telah dipotong ketika proses pencabutan, manakala pokok itu terpaksa bertahan dalam keadaan terdedah kepada cahaya matahari tanpa bekalan air mencukupi.
Bagaimanapun, pakar ekologi dan pengasas Baobab Foundation, Dr Sarah Venter berkata, kelima-lima pokok itu menunjukkan tanda-tanda kehidupan apabila mula mengeluarkan daun baharu dan putik bunga.
Menurutnya, keupayaan baobab menyimpan air dalam batang dipercayai membantu pokok berkenaan bertahan sepanjang tempoh mencabar itu.
Operasi pemindahan diketuai DFFE dengan bantuan Baobab Foundation dan Rizab Alam Semula Jadi Timbavati.
Pokok berkenaan ditanam semula di kawasan yang sesuai dengan habitat semula jadinya bagi mengurangkan risiko kematian akibat perubahan persekitaran.
Pagar elektrik turut dipasang bagi menghalang gajah daripada merosakkan pokok ketika proses pemulihan, manakala pemantauan dijadualkan dilakukan dua kali setahun sepanjang tempoh 10 tahun. - Agensi