Duterte bakal berdepan perbicaraan ICC

Iklan
Duterte dijadual memulakan perbicaraan di ICC pada 30 November bagi menghadapi tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan membabitkan pembunuhan dan cubaan membunuh. Foto Agensi

THE HAGUE - Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte bakal berdepan perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Isnin, dengan keluarga mangsa kempen antidadah pentadbirannya berharap prosiding itu akhirnya membawa keadilan buat insan tersayang yang terkorban.

Antara yang menantikan detik bersejarah itu ialah Llore Pasco, 72, seorang ibu yang kehilangan dua anak lelakinya dalam kejadian tembakan berasingan di Quezon City pada Mei 2017.

Iklan
Iklan

Pasco berlepas dari Manila ke The Hague, Belanda, untuk menyaksikan sendiri permulaan perbicaraan terhadap Duterte, yang didakwa bertanggungjawab terhadap kempen pembunuhan di luar proses undang-undang ketika memerintah.

Beliau memberitahu Associated Press (AP) bahawa kedua-dua anaknya pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, namun sudah lama meninggalkan kegiatan itu sebelum ditembak mati oleh individu tidak dikenali.

Iklan

Menurutnya, beberapa bulan sebelum kejadian, pihak berkuasa pernah mengunjungi rumah mereka dan bertanyakan sejarah penglibatan anak-anaknya dengan dadah.

Pasco berkata, beliau mahu melihat keadilan ditegakkan untuk semua keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam kempen berkenaan.

Iklan

“Beliau sangat bertuah kerana mendapat perbicaraan yang adil, tidak seperti apa yang berlaku kepada kami. Kami benar-benar mahukan keadilan untuk semua mangsa,” katanya kepada AP.

Duterte, 81, dijadual memulakan perbicaraan di ICC pada 30 November bagi menghadapi tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan membabitkan pembunuhan dan cubaan membunuh.

Pertuduhan itu meliputi kejadian yang didakwa berlaku antara 1 November 2011 hingga 16 Mac 2019, ketika beliau menjadi Datuk Bandar Davao dan kemudian Presiden Filipina.

Pendakwa raya mendakwa Duterte memainkan peranan dalam mengarahkan atau menyokong operasi pembunuhan terhadap individu yang dikaitkan dengan kegiatan dadah.

Antara dakwaan yang dikemukakan termasuk pembunuhan ketika beliau menerajui pentadbiran Davao, pembunuhan sasaran tertentu ketika menjadi presiden serta operasi penghapusan dadah di kawasan kejiranan.

Dokumen pertuduhan menyenaraikan 84 kes pembunuhan dan dua cubaan membunuh, namun pendakwa raya menyifatkan kes berkenaan sebagai sebahagian daripada jumlah kejadian yang lebih besar.

Angka korban keseluruhan kempen antidadah itu masih dipertikaikan. Polis Filipina pernah melaporkan lebih 6,000 kematian, manakala kumpulan hak asasi manusia menganggarkan jumlahnya boleh mencecah 30,000 orang.

Duterte menafikan bertanggungjawab terhadap dakwaan berkenaan, manakala pasukan pembelaannya berhujah bahawa perbuatan yang didakwa tidak memenuhi definisi jenayah terhadap kemanusiaan dan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan secara individu.

Bagi keluarga mangsa, perbicaraan itu bukan sekadar proses undang-undang, sebaliknya peluang untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap penderitaan yang ditanggung sejak bertahun-tahun lalu.

Paderi Katolik, Flavie Villanueva, yang membantu kira-kira 300 keluarga mangsa dengan menyediakan makanan, kemudahan asas dan sokongan kerohanian, berkata prosiding itu diharap dapat membantu proses pemulihan emosi mereka.

Beliau berkata, ramai keluarga sudah lama menunggu kes berkenaan dibawa ke peringkat perbicaraan.-Agensi