Perang cip AS-China: Masa depan pusat data Asia Tenggara jadi taruhan

Iklan
AS mengetatkan kawalan eksport cip AI sehingga mendorong Nvidia menggantung sementara penghantaran pelayan ke empat negara termasuk Malaysia.

INDUSTRI pusat data Asia Tenggara berdepan tekanan baharu susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengetatkan kawalan eksport cip kecerdasan buatan (AI) sehingga mendorong Nvidia menggantung sementara penghantaran pelayan ke empat negara di rantau tersebut.

Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia antara negara yang terjejas selepas Nvidia dilaporkan mengarahkan rakan pengeluarnya menghentikan penghantaran pelayan yang dilengkapi cip syarikat itu sementara meneliti pematuhan terhadap peraturan baharu Washington.

Iklan
Iklan

Menurut laporan Financial Times (FT) pada Khamis, pengeluar pelayan termasuk Dell Technologies dan Super Micro Computer (Supermicro) telah memaklumkan kepada pelanggan di empat negara terbabit bahawa pesanan perkakasan mereka tidak dapat dihantar keluar dari kilang.

Langkah itu susulan peraturan baharu Jabatan Perdagangan AS yang berkuat kuasa pada 19 November lalu mewajibkan lesen eksport bagi penghantaran cip canggih tertentu ke Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Iklan

Peraturan tersebut turut menyasarkan pusat data di luar negara yang membekalkan kapasiti pengkomputeran dalam jumlah besar kepada syarikat berpusat di China.

Washington berusaha menutup ruang yang membolehkan syarikat teknologi Beijing mendapatkan akses kepada kuasa pemprosesan cip AI keluaran AS melalui perkhidmatan pengkomputeran awan dan pusat data di negara ketiga.

Iklan

Bagaimanapun, tempoh penangguhan penghantaran pelayan Nvidia itu masih belum dapat dipastikan ketika syarikat tersebut bersama rakan pengeluarnya sedang meneliti keperluan pematuhan bagi memastikan operasi mereka selaras dengan peraturan baharu itu.

Dalam perkembangan berkaitan, firma penarafan kredit, Fitch Ratings memberi amaran pelaburan pusat data di rantau Asia Pasifik dijangka berkembang lebih perlahan dan menjadi lebih selektif akibat kawalan cip tersebut.

Fitch berpandangan perubahan dasar AS itu berpotensi mengubah hala tuju pertumbuhan industri AI di Asia apabila pelabur semakin mengutamakan projek yang mempunyai akses bekalan cip terjamin dan pelanggan daripada pelbagai pasaran.

Pengendali pusat data yang bergantung kepada pelanggan China berdepan risiko lebih besar khususnya penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan yang memerlukan penggunaan unit pemprosesan grafik (GPU) berprestasi tinggi secara berterusan bagi menjana pendapatan.

Fitch turut memberi amaran kekurangan bekalan cip atau ketidakpastian mengenai kelayakan pelanggan boleh menyebabkan projek yang hampir siap mengalami kelewatan dan menjejaskan jangkaan penjanaan pendapatan.

Keadaan itu juga berpotensi mendorong institusi kewangan mengetatkan syarat pembiayaan dan menangguhkan kelulusan pinjaman bagi projek yang mempunyai risiko bekalan cip dan pelanggan.

Washington berusaha menutup ruang yang membolehkan syarikat teknologi Beijing mendapatkan akses kepada kuasa pemprosesan cip AI keluaran AS.

Asia Tenggara menjadi antara destinasi penting pembangunan pusat data global berikutan permintaan tinggi terhadap infrastruktur pengkomputeran awan dan teknologi AI.

Malaysia kini muncul sebagai pasaran penting dengan peningkatan pelaburan pusat data terutamanya di Johor dan Lembah Klang.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana rantau tersebut mampu mengekalkan momentum pertumbuhan industri itu sekiranya akses kepada teknologi cip canggih terus dikawal Washington.

Penganalisis berpendapat pengendali pusat data perlu menyusun semula strategi pelaburan dengan mempelbagaikan pangkalan pelanggan dan memastikan bekalan cip yang digunakan mematuhi peraturan eksport antarabangsa.

Persaingan teknologi antara AS dan China kini bukan lagi terhad kepada industri semikonduktor malah turut memberi kesan kepada negara Asia Tenggara yang sedang rancak membangunkan sektor AI dan memperkukuh kedudukan sebagai hab infrastruktur digital serantau.

Trivia menarik perang cip AS-China

1. Hanya satu syarikat di dunia hasilkan mesin EUV tercanggih

Syarikat Belanda, ASML, merupakan satu-satunya pengeluar mesin litografi ultraungu ekstrem (EUV) yang digunakan untuk menghasilkan cip paling canggih. China tidak mempunyai akses kepada mesin itu akibat sekatan eksport.

2. Mesin cip guna cahaya daripada titisan timah panas

Teknologi EUV menggunakan laser yang menembak titisan timah amat kecil untuk menghasilkan cahaya ultraungu ekstrem. Proses itu berlaku kira-kira 50,000 kali sesaat bagi menghasilkan cahaya dengan panjang gelombang 13.5 nanometer.

3. Taiwan jadi nadi pengeluaran cip paling canggih

Syarikat pengeluar cip semikonduktor Taiwan (TSMC) merupakan antara pengeluar cip paling penting dunia. Cipnya digunakan dalam pelbagai produk termasuk pemproses AI, telefon pintar dan komputer.

4. Mineral nadir bumi: 'Senjata strategik' Beijing

Lebih 80 peratus unsur nadir bumi yang diproses dunia datang dari China. Bahan ini penting untuk menghasilkan komponen dan magnet dalam mesin industri. Beijing menyumbang 91 peratus pengeluaran nadir bumi bertapis dunia pada 2024.

5. Cip AI Nvidia mempunyai berbilion suis elektronik

Cip Blackwell Nvidia mengandungi kira-kira 208 bilion transistor pada dua bahagian cip. Transistor ialah komponen asas yang membolehkan cip memproses maklumat.

6. Kos mereka bentuk cip 2 nanometer lebih RM2.8b

Anggaran Rizab Persekutuan AS menunjukkan betapa besar pelaburan yang diperlukan untuk membangunkan cip generasi baharu, dengan kos reka bentuk teknologi 2nm sahaja melebihi AS$700 juta (RM2.8 bilion).

7. China guna 'pintu belakang'

Syarikat Beijing dilaporkan memanfaatkan perkhidmatan pusat data dan pengkomputeran awan di negara ketiga bagi mendapatkan akses kepada kuasa pemprosesan cip Nvidia. Amalan itu mendedahkan kelemahan sekatan eksport AS untuk menyekat akses China kepada teknologi cip termaju.