Enam lanun bersenjata rampas kapal kargo milik UAE

Iklan
Kapal MV Marsa Virgo yang dilaporkan dirampas enam lanun bersenjata di Teluk Aden. - Gambar fail

MOGADISHU – Sebuah kapal kargo milik syarikat berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan dirampas enam lelaki bersenjata di Teluk Aden pada Sabtu dalam insiden yang dipercayai melibatkan lanun dari Somalia.

Kapal MV Marsa Virgo yang berdaftar di bawah bendera Panama itu dimiliki syarikat Marsa Ocean Shipping dan membawa kontena berisi muatan yang tidak didedahkan.

Iklan
Iklan

Pegawai polis maritim dari wilayah Puntland, Somalia memaklumkan kepada agensi berita Associated Press (AP) bahawa enam lelaki bersenjata telah mengambil alih kapal berkenaan.

Menurut tiga pegawai keselamatan Puntland yang dipetik Agensi Berita AFP, kumpulan itu dipercayai berlepas dari Puntland menggunakan sebuah bot nelayan sebelum menyeberangi Teluk Aden menuju ke perairan Yemen.

Iklan

Mereka didakwa menyamar sebagai nelayan dan menyusup masuk dalam komuniti pelarian Somalia di selatan Yemen bagi mengelak dikesan sebelum melancarkan serangan.

Sumber keselamatan itu turut mendakwa kumpulan berkenaan memperoleh senjata daripada penduduk tempatan bagi melaksanakan operasi tersebut.

Iklan

Seramai 19 kru berada di atas kapal ketika kejadian dan dilaporkan berlindung di dalam sebuah bilik keselamatan bagi mengelakkan sebarang ancaman.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu daripada agensi pemantauan maritim Britain, United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) memaklumkan, individu bersenjata berkenaan sudah meninggalkan kapal itu.

UKMTO berkata, semua kru berada dalam keadaan selamat dan kapal berkenaan meneruskan perjalanan ke pelabuhan destinasi seterusnya.

Agensi itu sebelum ini menerima laporan kapten kapal bahawa sekumpulan lelaki bersenjata menaiki kapal berkenaan kira-kira jam 6.30 pagi GMT, pada kedudukan sekitar 119 kilometer di barat daya Balhaf, Yemen.

Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Keselamatan Maritim Kesatuan Eropah (EU) turut melaporkan kejadian enam lanun bersenjata menaiki sebuah kapal dagang di perairan barat laut Bosaso, Somalia, pada hari sama.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada laporan UKMTO dan amaran EU itu merujuk kepada kapal serta kejadian yang sama.

Insiden berkenaan berlaku ketika kegiatan lanun di perairan Tanduk Afrika kembali meningkat selepas beberapa tahun mencatatkan keadaan lebih terkawal.

Menurut laporan keselamatan maritim, sekurang-kurangnya 16 serangan dilaporkan berlaku sejak April lalu, menjadikannya tahap tertinggi sejak 2013.

Kegiatan lanun turut menambah risiko kepada kapal perdagangan yang melalui laluan strategik Teluk Aden, terutama ketika rantau itu berdepan ketegangan keselamatan dan serangan terhadap kapal komersial. - Agensi